Sunday, May 11, 2008

Liku-liku kehidupanku 1980-2008 (part 1)



Sekadar untuk tatapan dan peringatan diri, perjalanan dan liku-liku kehidupanku selama hampir 28 tahun...

15 Mei 1980 - diriku dilahirkan jam 3.15 pagi (kalau tak silap). Diberi nama Asyiqin anak perempuan kepada Haji Abdul Halim dan Aminah.

1981 - diriku melangkah setahun. Masih belum tahu dan kenal apa-apa

1982 - diriku melangkah ke usia 2 tahun. Mungkin masa ni dah pandai bercakap dan berjalan

1983 - diriku berusia 3 tahun. Apa yang kanak-kanak berumur 3 tahun pandai buat ya, pada usia sebegini?

1984 - sudah berumur 4 tahun. Sudah menjadi 'kanak-kanak' dewasa.

1985 - berumur 5 tahun. Mula melangkah ke alam Tadika. Dihantar ke Tadika Raja Dewa, Jalan Telipot. Tapi, seingatku, tak lama berada di sana. Meragam tak nak gi sekolah.

1986 - berumur 6 tahun. Ayah dan chek menghantarku ke PASTI. Masih ingat, pakai tudung bulat hitam dan baju kurung biru. Tak pasti masuk PASTI sampai habis ke atau sekerat jalan

1987 - berusia 7 tahun, dihantar ke SRK Zainab (1), Jalan Telipot. Sekolah rendah yang kakak-kakak ku belajar dulu. Masih ingat, belajar di kelas akhir sekali, 1 Biru. Mula-mula, tak pandai nak berkawan. Lama-lama, ada juga kawan. Cikgu kelas, ingat lagi, namanya Pn Khadijah. Kurus kecil cikgu ni. Pernah chek datang berjumpa Cikgu Khadijah bila saya beritahu yang saya tak de kawan di sekolah. Tapi, ada jugalah kawan. Alhamdulillah, walaupun tak pandai, tapi dapat naik kelas pertama untuk darjah 2. Dapat masuk 2 Kuning.

1988 - Darjah 2. Umur 8 tahun. Sekolah di sebelah petang. Pergi sekolah dengan van Pakcik Kassim (dah meninggal dunia). Tak berapa pandai dan rajin buat kerja sekolah. Selalu main-main aje. Tapi, Alhamdulillah, tak diturunkan kelas. Entah kenapa tu, tahun tu semua dikekalkan di kelas yang sama untuk tahun seterusnya, sama ada dapat keputusan baik atau buruk dalam peperiksaan akhir tahun (kalau 2 Kuning, kekal masuk ke 3 Kuning). Mungkin rezeki saya dapat kekal di kelas pertama.

1989 - Berumur 9 tahun. Dah mula pakai baju kurung, walaupun tak pakai tudung lagi. Masa ni dah mula rabun mata (rabun jauh sikit-sikit). Di akhir tahun, mula pakai cermin mata. Dan mula belajar mengaji Al-Qur'an secara serius di rumah Pakcik Mea. Bersekolah masih di sebelah / sesi petang. Saya tak pandai mengeja Al-Qur'an. Baca hanya ikut apa yang To'Guru baca. Dapatlah habis Muqaddam dan masuk 'surat besar' (Al-Qur'an) tahun tu (kalau tak silap saya).

1990 - Umur 10 tahun. Dah rasa besar di sekolah. Mula pakai baju kurung, pakai tudung dan pakai cermin mata. Ada kawan yang tak cam bila saya pakai macam tu pada hari pertama sekolah. Cikgu kelas, saya masih ingat lagi namanya. Cikgu Hanafiah. Dan dia masih mengajar di SRK Zainab (1) (tahun 2006 saya pernah jumpa dia di sekolah tu). Di awal tahun, saya agak tak pandai nak 'cope' dengan 'study'. Bermain-main dalam kelas. Sempat lagi bertukar-tukar lukisan kartun dengan kawan saya (yang kami letakkan dialog dalam kartun tu) semasa cikgu tengah mengajar di depan. Ingat lagi saya nama kawan tu, Norhashimah Ahmad Shahibuddin. Ayah dia orang kuat UMNO di Lundang. Tapi, Alhamdulillah, di akhir tahun (sebelum peperiksaan akhir tahun), saya mula sedar diri. Mula tumpu pada pelajaran dengan bersungguh-sungguh. Tak ada siapa yang suruh. Motivasi untuk belajar datang sendiri. Alhamdulillah, dapat no 9 di peperiksaan akhir tahun dan dapat naik ke 5 Kuning (kelas no 1).

Dan tahun itu jugalah (sama ada di pertengahan atau akhir tahun), PAS menang besar di Kelantan. Kerajaan UMNO pimpinan Dato' Mohammad Yaacob tumbang (Dato' Mat Yaakub). Ayah yang turut bertanding juga menang di kawasan / Dun Banggol. Dan selepas PAS diisytiharkan menang, ayah diangkat menjadi Timbalan kepada TG Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dalam lain perkataan, Timbalan Menteri Besar. Satu jawatan yang saya tak pernah tahu sebelum ni, tapi mula bermain di kepala bila ayah jadi TMB. Tapi, rasa biasa aje. Tak rasa apa-apa perubahan. Cuma terasa ayah makin sibuk dan kehidupan kami menjadi sedikit lebih selesa. Berkat perjuangan Islam, mungkin setelah ayah dan chek telah lama berjerih perih mengharungi kehidupan politik sebagai pembangkang.

1990 - Saya berumur 11 tahun. Rasanya tahap belajar pada awalnya agak tunggang-langgang. Selalu datang lambat ke sekolah (sebab van Pakcik Kassim agak lambat sampai ke sekolah), ada juga kena denda. Lalu, bertukar naik bas Pakcik Min pula. Bas Pakcik Min sampai awal. Pukul 6.45 atau sebelum pukul 7 dah sampai di sekolah. Di awal tahun, masih banyak saya tak tahu pasal pentadbiran sekolah. Siapa Penolong Kanan 1, Penolong Kanan 2. Ada insiden berlaku, saya tertukar antara PK 1 dan PK 2. Malu dibuatnya. Tapi entah macam mana, di pertengahan tahun, cikgu kelas 5 K, Cikgu Zanariah memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi Ketua Darjah. Wah, hebatnya saya :-). Dah lupa siapa penolong saya. Tapi, Alhamdulillah, saya cuba buat yang terbaik. Dan rasanya jawatan tu kekal hingga ke akhir tahun. Dan masa ni juga, Bahasa Inggeris saya mula 'improve'. Belajar dengan Miss Tan Chong Beng (Miss Tan), cikgu Cina yang memang rajin dan pandai mengajar Bahasa Inggeris. Walaupun grammar saya masa tu pun masih banyak tak betul, tapi banyak benda yang saya tahu dan menjadi lebih baik selepas belajar dengan Miss Tan. Dan, Alhamdulillah juga, walaupun agak tak bersungguh-sungguh dalam peperiksaan akhir tahun, keputusan peperiksaan saya mungkin agak baik juga dan dapat masuk kelas 6 Kuning untuk tahun seterusnya.

1992 - Berumur 12 tahun. Tahun terakhir di SRK Zainab (1) dan tahun ni saya menduduki ujian UPSR. Dan saya terus dilantik sebagai Ketua Darjah, dan penolongnya Nur Wahida Ismail (inagt lagi nama dia, tapi dah tak pernah jumpa selepas habis belajar di ZS 1). Belajar pun mula sibuk. Kelas tambahan dua hari seminggu. Di awal dan pertengahan tahun, saya agak aktif juga dengan persatuan. Kelab Seni Lukis dan bermain untuk pasukan Hijau. Dan, disebabkan saya mula tahu sikit-sikit bermain ping-pong (sebab di rumah dah ada meja ping-pong), saya dipilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan ping-pong. Wah, bangga dan cuak juga. Cuma, tak menang pun. Kalah ditangan pelajar Cina yang memang 'terror' main ping-pong.

Di pertengahan cuti sekolah (cuti sekolah penggal pertama), saya menghadiri kursus Summer Camp anjuran Sabha Group. Organisasi yang dikendalikan oleh Dr. Hassan Ali (sekarang AJK PAS Pusat dan Exco Kerajaan S'gor). Program ni dibuat di SM Faris Petra, Pengkalan Chepa. Kakak-kakak fasilitator kebanyakkannya kawan-kawan K.Na, seperti K.Wan Suhairan, K.Wan Jamilah, K.Nik Norihan (fasi saya). Program yang sangat bermakna dan berkesan. Banyak perkara yang saya belajar, terutamanya asas-asas dan bacaan dalam sembahyang. Selama ni, doa dalam sembahayang - duduk antara dua sujud pun saya tak lancar, dah mula lancar dalam program ni. Doa qunutnya, berapa rukun dalam sembahyang, dalam program ni baru saya belajar semua benda ni. Dan diajar supaya sentiasa berzikir (Subhannallah walhamdulillah wala ilaha illAllah wal Allahu akbar). Seronok hadir ke program ni. Rasa tak nak balik. Dan tak disangka-sangka, saya jadi peserta terbaik untuk pelajar sekolah rendah. Diberi hadiah buku dan dijemput ibu saya sendiri untuk sampaikan hadiah tu. Di akhir tahun itu, saya hadir lagi ke program ni yang dibuat di Kem Kijang bersama abang saya, dan dua orang sepupu lelaki. Dan sekali lagi, saya menjadi peserta terbaik untuk pelajar sekolah rendah.

ALhamdulillah, UPSR tahun tu, saya dapat 4A (full A). Agak takut sebenarnya masa nak ambil result tu. Alhamdulillah, Allah makbulkan cita-cita saya. Dan sebelum tu, saya ada memasuki pertandingan melukis anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu. Alhamdulillah, buat julung-julung kalinya saya menang, tempat saguhati. Dapat hadiah wang RM75 dan cenderamata. Bangga tu...Dan (lupa nak bagitau sebelum ni), sempena program tertentu (saya lupa program atau minggu apa), saya dipilih menjadi Pelajar Contoh (Pelajar Mithali). Tak taulah apa contoh yang saya berikan. Macam contoh budak baiklah kot (walaupun baca Qur'an tak lancar pun masa tu). Dapat hadiah beberapa buah buku. Mungkin satu motivasi buat saya untuk lebih cemerlang...

(bila menulis kisah lama ni, terasa macam pelajar sekolah rendah tulis diari...)

No comments: