~rindukan harta, harta akan lupus; rindukan manusia, manusia akan binasa; rindukan ALLAH, rindu akan kekal abadi~
Saturday, May 10, 2008
Apa yang ada jarang disyukuri...
Antara bait-bait nasyid Antara 2 cinta...
Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering sering dirisaukan
Ni'mat yang dikecap barukan dirasakan
Bila hilang...
Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman...
Betul dan amat tepat sekali lirik nasyid ni. Hakikatnya kita sentiasa risau dan keluh kesah atas perkara yang kita tidak miliki. Tetapi, apa yang ada di hadapan mata, yang Allah anugerahkan jarang kita syukuri meskipun ni'mat itu amat besar dan dicari-cari oleh orang lain.
Saya tidak tak tahu apakah saya juga bersikap demikian, tetapi apakah saya tidak wajar untuk risau akan perkara ini kerana ini adalah antara perkara pokok dalam kehidupan. Tetapi sekali lagi, semakin saya fikirkan, semakin saya berkata kepada diri sendiri kenapa hal ini terjadi pada saya, ia akan lebih 'menyesakkan dada saya', lebih menambahkan kerisauan dan mula timbul perasaan untuk menyalahkan keadaan (taqdir)- Ya, Allah, na'uzubillahi min zalik.
Mungkin inilah psikologi orang seperti saya yang telah 'berumur' (tetapi masih muda lagi sebenarnya), risau kerana masih belum 'berpunya' atau dalam lain perkataan, 'belum berkahwin'. Jika saya nak senaraikan keluhan saya di sini memang banyak. Perkara ni mula saya risau dan fikirkan setelah saya mula bekerja di UTP, dalam pertengahan tahun 2006, meskipun keinginan untuk mendirikan rumahtangga telah lama terpendam dalam hati semenjak saya tamat ijazah sarjana pertama di UM dan sebelum meneruskan pengajian MA. Tapi, perasaan ni saya pendam dan tidak luahkan memandangkan ingin memenuhi hajat dan cita-cita kedua ibu bapa dan saya sendiri untuk memperolehi MA sebelum bekerja. Sepanjang belajar MA, perkara ini tidak difikirkan secara serius kerana konsentrasi perlu diberikan kepada pengajian yang agak intensif. Tamat MA, saya sering berdoa sama ada saya dipertemukan jodoh atau dimurahkan rezeki untuk mendapatkan pekerjaan yang agak stabil. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana memurahkan rezeki saya dengan memakbulkan doa saya yang kedua, mendapat pekerjaan yang agak baik meskipun masih muda dan tidak berpengalaman dan setelah diuji dengan pelbagai ujian. Saya diterima menjadi pensyarah di UTP, Tronoh, Perak.
Di ketika ini, abang saya mendirikan rumahtangga. Saya masih teringat, selepas selesai majlis aqad nikah, saya terasa saya keseorangan, tinggal saya seorang sahaja yang belum 'berpunya' (memang saya ada 'feeling' dan emosional sikit kadang-kadang :-)). Dan pada waktu atau tahun itu, tumpuan diberikan untuk urusan majlis perkahwinan abang saya. Saya pada waktu tu pun, tak dapat banyak membantu kerana telah mula melapor diri dan bekerja di UTP. Jarak tempat bekerja yang berjauhan dari kampung, ditambah pula dengan keadaan masih baru cuma menyesuaikan diri, banyak perkara yang perlu difikirkan dan tumpuan pada mencari jodoh tidak begitu difikirkan.
Namun, setelah keadaan agak sedikit stabil, ditambah dengan berjauhan dari keluarga di tempat orang dan berseorangan pula, perkara ni mula difikirkan kembali. Masih saya ingat, disebabkan di Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan di UTP, saya adalah staff baru yang diserap masuk setelah lama tidak ada staff baru, saya yang baru, paling muda dan masih 'bujang'...hehehe...Tapi, memang ramai lagi sebenarnya yang masih bujang di UTp (terutamanya pensyarah perempuan).
Dan sekali lagi saya disibukkan dengan perkara lain. Akhir tahun 2006, saya ditimpa kemalangan kecil, mendapat cuti sakit selama hampir sebulan. Dan hikmahnya dari insiden tersebut (setelah saya cari dan muhasabah kembali), saya dapat menghadiri temuduga untuk mendapat skim latihan akademik untuk menyambung pengajian di peringkat PhD. Alhamdulillah (dan sepatutnya saya lebih banyak bersyukur!), peluang saya dibuka dan rezeki saya dimurahkanNya. Saya berjaya mendapat skim tersebut dan melanjutkan pengajian di peringkat PhD ke luar negara dalam masa terdekat, setelah diuji dengan pelbagai ujian. Subhanallah! Satu keadaan yang saya sendiri pun tidak sangka akan berlaku. Begitu cepat perubahan berlaku.
Dan, nah! Sekarang saya telah berada di bumi UK. Setelah keadaan agak stabil dan sedikit dapat menyesuaikan diri, perkara berkaitan jodoh mula bermain di kepala. Lebih-lebih lagi dalam empat lima hari lagi, saya sudah menjangkau ke usia 28. Masih muda sebenarnya, tapi agak tua dan sedikit lewat jika masih belum mendirikan rumahtangga. Tapi, iyalah. Kita tak tahu apa hikmah di sebalik semua ini. Kenapa di usia ini saya masih belum bertemu jodoh? Walaupun bibit-bibit ke arah tersebut akhir-akhir ini mula muncul, tetapi tidak pasti di mana pengakhirannya. Mungkin saya perlu lebih banyak bersabar, terus berdoa dan berusaha lebih proaktif kalau perlu (boleh ke?). Jangan sekali-kali berputus asa dan hilang bergantungan dariNya. Dia Yang Maha Mengetahui segala-segalanya, segala yang tersirat dan tersembunyi.
Betullah bait-bait senikata nasyid di atas. "Apa yang kita ada, jarang kita syukuri. Apa yang kita tiada, kita sering risaui". Maka, perlulah kita kembali kepadaNya, bersyukur dengan sebanyak-banyaknya atas ni'mat yang Allah anugerahkan yang tidak terhitung, kerana "sekiranya kita bersyukur (kepadaNya), Allah akan tambahkan lagi ni'matNya, tetapi sekiranya kita kufur, azab Allah amatlah pedih"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
salam kak.tahniah kerana berjaya melanjutkan pelajaran hingga tahap PHD..sy sbnrnya nk cari lirik Raihan kerana nak legakan hati sy yang risau pasal jodoh..apabila jumpa blog akak ni..tak sangka akak pun gunakan lirik tu tuk jodoh jugak..betulla kak..kita kena bersyukur dgn pelbagai nikmat Allah yg telh diberi kepada kita...semoga akak bertemu jodoh dgn lelaki yang soleh nnti..InsyaAllah..
Post a Comment