Saturday, November 17, 2007

Bangkitlah umatku....

Bismillah

Sekadar sedikit coretan. Satu nasyid dari kumpulan Alarm-Me yang saya baru ketemui di internet. Tajuknya, "Adakah Kau Lupa?". Begitu bersemangat lirik dan rentak nasyid ini. Boleh membakar semangat kita untuk kembali menjadi umat Islam yang cemerlang. Hayatilah bait-bait lirik dan irama nasyid ini. "Adakah Kau Lupa..?"


Sunday, November 11, 2007

Inilah masalah dan kelemahan diri yang perlu diperbaiki...


Bismillahi Ar-Rahman Ar-Rahim,


Sedikit luahan dan keluhan hati...
Inilah masalah yang sering aku alami dan aku masih belum dapat memperbaikinya. Tidak mampu berkata 'tidak', terlalu atau terlampau baik dengan seseorang sehingga 'agak' melebihi batasan dan mensia-siakan masa.
Rasanya, aku harus berterus-terang pada diri sendiri dan mencari di mana kesilapan yang perlu diperbaiki. Berkaitan dengan tidak mampu mengatakan 'tidak', perkara ini telah lama bersarang dalam diriku. Aku mula menyedari keadaan sebegini, tidak mampu bersikap tegas semasa aku berada di UM Nilam Puri. Aku masih ingat, ada ku letakkan satu poster (yang aku tulis sendiri), bertulis, 'Jangan takut untuk Mengatakan TIDAK!'. Tidak pasti sama ada masalah ini semakin selesai atau tidak selepas poster tu digantung, tetapi setiap kali aku berdepan dengan situasi sebegini, aku akan melihat kepada poster tu.


Namun sekarang, masalah ini berulang lagi.Bukanlah begitu ketara keadaan ini, tapi aku dapat rasakan, aku lebih banyak 'menjerut perasaan' dan mengatakan 'Insha-Allah, boleh' dalam setiap permintaan atau ajakan seseorang. Aku tidak mampu menolak, walaupun aku merasakan yang aku perlu menolak. Kenapa aku tak mampu menolak? Adakah kerana takut dikatakan sebagai individualistik? Entahlah, aku pun tak tahu. Seolah-olah, mahu berlagak baik, sedangkan aku juga ada kepentinganku sendiri.


Begitu juga dengan permasalahan kedua. Permasalahan kedua ini mempunyai perkaitan dengan permasalah pertama. Terlalu baik dengan seseorang sehingga menjangkau batasannya. Aku tak tahu sejak bila aku mula bersikap demikian, tetapi rasanya semenjak kebelakangan ini (selepas habis MA dan bekerja di UTP) aku terlalu banyak mendahulukan orang lain, sehingga aku dapat rasakan yang hidupku agak tak tentu arah. Insha-Allah, aku menolong seseorang itu kerana ikhlas mahu menolong. Tapi, aku dapat rasakan (Wallahu a'lam, sama ada betul atau tak sangkaanku), kebaikan aku untuk menolong diambil kesempatan oleh orang lain...Mungkin mereka tak bermaksud demikian. Tetapi mungkin kerana melihatkan aku tak banyak ber'kira', jadi akulah menjadi tempat utama untuk meminta pertolongan...Aku pula, sering timbul rasa bersalah kalau menolak permintaan pertolongan dari seseorang, walaupun aku ada hak untuk menolak. Lebih kurang sama dengan masalah yang pertama, tidak mampu mengatakan tidak. Apa kesannya? Akan sampai satu tahap, aku akan terasa begitu letih berada dengan seseorang yang aku tolong itu, hingga aku mahu melarikan diri darinya. Seolah-olah, aku yang 'baik' sebelum ini hanyalah satu kepuraan semata-mata, walaupun aku tidak bermaksud sebenarnya...Kadang-kadang, aku merasakan yang aku bukan 'seorang manusia' yang sebenarnya. Terlalu baik dalam semua perkara, tidak mampu menegur atau memarahi seseorang, sebaliknya lebih banyak memendamkan perasaan. Betullah kata pepatah Melayu, "Buat baik berpada-pada...buat jangan jangan sekali."


Sedangkan, aku seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan orang (mungkin ini hanya dari sudut pandanganku). Aku begitu bimbang akan menyusahkan orang sekiranya aku mahu meminta apa-apa pertolongan dari mereka, melainkan individu itu benar-benar rapat denganku, seperti ibubapa dan adik-beradik (tetapi dengan adik-beradik pun, aku segan/tak berani untuk meminta pertolongan mereka kerana kesibukan mereka) dan pertolongan yang aku minta tidak menyusahkan mereka. Tapi, aku (rasa) aku tak kisah untuk memberi (memberikan pertolongan dsgnya), melainkan kalau aku merasakan sedikit ralat atau berat hati. Tapi, orang lain selalunya tidak sebegitu. Mereka (pada pandanganku) tidak berfikiran sepertiku. Sekali peluang dibuka, setelah melihat sikapku yang tak kisah, maka bertalu-talulah datang permintaan pertolongan dari mereka. Ditambahkan lagi dengan sikapku yang selalu timbul rasa bersalah jika menolak permintaan seseorang. Sudah tentu, aku tak boleh meluahkan perkara ini atau berterus-terang dengan mereka. Mereka akan menganggap yang mereka menyusahkan aku dan aku tidak ikhlas dalam menolong. Bukan...! Bukan itu sebenarnya! Aku hanya mahukan yang kita saling faham-memahami. Aku hanya boleh menolong setakat yang aku mampu. Aku boleh menolong, tetapi perlu ada hadnya. Aku tidak mampu untuk bersikap 'baik' sepanjang masa, kerana aku juga mempunyai sikap buruk secara semulajadi.


Permasalahan ketiga, sejak kebelakangan ini, semenjak aku memulakan pengajian kedoktoran, terasa yang aku banyak menghabiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Main games, berinternet, chatting (walaupun sebenarnya aku chatting dengan teman lama), menonton drama di internet hingga 2,3 jam, keluar berjalan-jalan ke bandar hampir setiap hujung minggu, tidur dll. Meskipun dalam masa yang sama, aku akan belajar jika aku ke perpustakaan, tetapi jika di rumah, aku banyak berehat..! Seolah-olah aku agak tak serius dalam belajar. Aku tahu, mengikuti ijazah kedoktoran bukan satu perkara yang mudah! Aku perlu banyak membaca dan menulis, perlu tahu bagaimana untuk menguruskan masa. Mungkin ini kerana lemahnya motivasi dan sikap positif dalam diri, tetapi ada juga sedikit perkaitan dengan dua permasalahan sebelum ni. Tak tahu apa yang aku perlu lakukan. Apa yang aku tahu, aku perlu berubah, jika aku mahu memastikan kecemerlangan diriku. Mungkin perlu ada sedikit sikap 'selfish' dalam diri, jika tak mahu diperkotak-katikkan oleh orang lain.

Tapi, aku rasakan, sekiranya aku menguruskan diriku dengan baik, membuat perancangan dan jadual apa yang akan aku lakukan dalam sehari atau seminggu mahupun sebulan, masalah berkaitan 'tidak mampu mengatakan tidak' dan terlalu baik dengan seseorang' tidak akan timbul. Jika perancangan telah ada, aku akan tahu apa yang aku perlu lakukan dalam tempoh tertentu. Jadi, tugasan yang perlu aku laksanakan akan aku lakukan dan penuhi terlebih dahulu. Dan barulah aku memikirkan tentang orang lain pula. Jika mahu menolong orang pun, sekurang-kurangnya tugasan aku sendiri telah selesai. Jadi, tak timbullah masalah mahu mengungkit-ungkit kebaikan yang telah aku lakukan pada orang lain. Subhanallah, teruknya aku! Tapi, tak mengapalah. Sekurang-kurangnya aku meluahkan apa yang terbuku di hati. Aku seorang yang penyimpan, tidak mampu atau agak malu untuk berterus-terang. Sekurang-kurangnya, luahan perasaan dan hatiku aku coretkan di blog ini, untuk aku fikirkan kembali dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya.

Ya, Allah, berikanlah ketabahan dalam diri hambaMu ini, dalam menyusuri dan meneruskan kehidupan di dunia ini. Tunjukkanlah jalan yang lurus, yang akan memperoleh keberkatan dan kerahmatan dariMu. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui...

Monday, October 29, 2007

Tanggungjawab seorang ilmuwan


Bismillah,


Berdasarkan pengamatanku, terdapat beberapa tanggungjawab yang perlu dititik beratkan oleh mereka yangbergelar ilmuwan, sarjana mahupun ulama' di dalam bidang masing-masing.

Pertama : Tanggungjawab mereke terhadap ilmu yang dimiliki. Pastinya mereka perlu faqih dan alim tentang aspek keilmuan yang diceburi, apatah lagi dalam bidang agama. Tidak dinafikan, tidak semua orang pakar dalam pelbagai bidang yang berbeza, tetapi sekurang-kurangnya dia perlu mengetahui dan memahami ilmu asas dalam apa jua bidang agar mudah untuk dikaitkan dengan ilmu yang dia kuasai. Juga untuk memastikan apa yang disampaikan (lebih-lebih lagi dalam bidang agama) tidak bercanggah dengan ajaran Islam sendiri.


Kedua: Tanggungjawab untuk menghayati ilmu yang dipelajari. Maksudnya memahami, menerapkan segala ilmu yang diperolehi di dalam hati dan diri dan dijelmakan melalui tingkahlaku yang baik. Sebagai contoh, seorang yang mempunyai ijazah kedoktoran masih bersikap rendah diri, tidak menyombong diri dan masih menghormati mereka yang lebih tua termasuk ibubapanya sendiri.


Ketiga: Tanggungjawab untuk mengamalkan dan mempraktikkan ilmu yang diperolehi. Tidak sekadar mempunyai pengetahuan luas dalam sesuatu bidang, malahan ilmu yang ada dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Juga dalam erti kata lain, seorang ilmuwan atau sarjana mempunyai hubungan komunikasi yang baik dengan persekitarannya, tidak canggung atau kekok apabila terjun dalam masyarakat. Bermaksud dia tidak sekadar faqih dalam bidangnya, tetapi mampu menterjemahkannya dalam menangani masalah masyarakat dalam kehidupan seharian mereka.


Wallahu 'a'lam.

Sunday, September 30, 2007

Menempuh hari-hari mendatang...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang

Banyak perkara yang bergelumang dalam kepada dalam semenjak dua menjak ini. Satunya, pagi-pagi tadi tiba-tiba terfikir dengan keadaan yang bakal saya lalui di bumi orang nanti. Bagaimana agaknya keadaan yang perlu saya lalui, selama 2 hingga 3 tahun mungkin, tanpa ibu bapa dan keluarga terdekat? Meskipun, saya pernah melalui pengalaman yang sama di tempat orang semasa menjalani pengajian di peringkat MA, tapi masa tu ada kakak dan abang. Ibu dan ayah pula sanggup datang dari M'sia semata-mata untuk bertemu kami di waktu musim panas. Kali ini, saya akan bersendirian, yang ada nanti hanyalah kawan-kawan dan kenalan untuk mengubat rindu dan menumpah kasih kelak.

Ia juga tidak akan sama dengan keadaan saya sewaktu bekerja atau belajar di tanah air sebelum ni. Kalau ada apa-apa hal, boleh terus telefon ibu dan ayah. Boleh minta pertolongan dari mereka jika benar-benar dalam keadaan terdesak. Tapi, jika di perantauan, kita perlu banyak berdikari. Dan dengan rakan-rakan untuk dijadikan tempat untuk meluahkan perasaan.

Entahlah. Jadi ngeri pula bila memikirkannya, walaupun saya pernah melalui keadaan sebegini sebelum ini. Cuma apa yang saya boleh berpegang, perbanyakkanlah kembali kepadaNya. Perlu sentiasa mengingatiNya dalam keadaan senang dan susah, meskipun sekarang saya semakin lalai dalam mengingatiNya. Wallahu a'lam. Jiwa dan perasaan perlu dikembalikan kepadaNya. Perlu banyak bersyukur dan mengingatiNya, kerana dalam keadaan sekarang terlalu banyak ni'matNya yang dilimpahkan kepada hambaNya ini...Ya, Allah, kepada Engkau hambaMu n\ini kembali....

Thursday, July 19, 2007

Meletakkan ilmuwan dalam arus perdana...


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Bagaimana meletakkan diri yang bergelar ilmuwan dan ahli akademik dalam arus perdana, dalam suasana masyarakat semasa?
Inilah persoalan yang berlegar di fikiran saya, sebelum dan setelah menjadi salah seorang 'ahli akademik'. Adakah seorang pensyarah ialah seorang yang hebat bersyarah, atau seorang yang hebat dari sudut ilmu dan lapangan pengkhususannya sehingga menjadi rujukan masyarakat, atau seorang yang berperanan menyampaikan ilmu, menegur dan memperbetulkan keadaan sekiranya apa yang berlaku di sekelilinginya menyalahi disiplin ilmu yang dipelajarinya?
Atau peranan seorang pensyarah hanya bermain dan berlegar di dunia akademiknya? Saya keliru dan tidak faham kadang-kadang.

Tuesday, July 17, 2007

Di antara cita-cita dan 'cinta'(?)


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Sekadar sedikit luahan hati terhadap situasi yang saya hadapi. Diharapkan agar apa yang diluahkan ini bukan bermaksud satu keluhan, rungutan mahupun tanda 'berputus asa' terhadap apa yang Allah tentukan kepada saya (na'uzubullahi min zalik).
Alhamdulillah, dalam usia saya yang masih muda (belum mencecah 30), saya diberi ni'mat (Insha-Allah) untuk melanjutkan pelajaran di peringkat PhD di luar negara dengan diberikan biasiswa oleh kerajaan. Ini sebenarnya satu anugerah yang besar, kerana tidak semua yang mendapat peluang seperti saya. Juga bermaksud doa yang dipohon selama ini telah dimakbulkan Allah. Walaupun sebelum ini saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk mendapat biasiswa ini, tapi ini mungkin rezeki saya. Dan menurut ayah, jika peluang ini ditolak, tak mungkin ia akan datang kembali. Di atas nasihatnya, petunjuk kecederungan hati selepas solat istikharah, proses pengurusan hal ini yang banyak dipermudahkanNya menyebabkan saya reda dan tekad untuk menyusuri laluan yang dibukakan untuk saya.
Walaubagaimanapun, bukan sedikit cabaran yang bakal saya tempuhi nanti. Tempoh pengajian selama 4 tahun di luar negara di peringkat paling tinggi dalam proses pengajian (secara formalnya, kerana tiada noktah dalam menuntut ilmu) adalah cabaran yang agak besar untuk saya hadapi. Apatah lagi, buat masa sekarang saya meletakkan situasi yang saya akan belajar di sana secara bersendirian, tidak ditemani oleh sesiapa. Maksud saya, saya tidak diiringi oleh seorang lelaki yang bernama 'suami' untuk bersama-sama saya di sana kelak.
Kadang-kadang agak malu dan segan rasanya untuk membicarakan hal ini. Tapi inilah hakikat yang tidak boleh kita tepis. Cuma yang menjadi persoalannya, bagaimana kita menangani keadaan ini. Memang banyak fikiran yang agak negatif bermain di fikiran saya, apabila melihatkan keadaan saya yang masih 'keseorangan' di kala usia hampir mencecah 30 (3 tahun lagi sebenarnya). Adakah saya ni berat jodoh? Adakah saya pernah melakukan dosa / perkara-perkara yang menyebabkan saya lambat bertemu jodoh? Adakah tidak berkahwin adalah keadaan yang terbaik untuk saya? Adakah saya terlalu memilih dalam mencari jodoh? Wallahu'alam, jika dilayan segala tanggapan negatif ini, tak mustahil dada saya akan bertambah sesak dan seolah-olah saya menyalahkan takdir atas apa yang berlaku. Dan sememangnya syaitan sedang menunggu peluang ini supaya kita lebih berfikiran negatif dan berprasangka terhadapNya...Sedangkan ALLAH Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.
Alhamdulillah, diri saya masih dibekalkan dengan fikiran yang waras dan iman yang mungkin tidak tebal tetapi masih ada terhadapNya. Jika keadaan ini dilihat dari sudut positif, memang banyak hikmah disebaliknya yang tidak dibentangkan kepada kita. Mungkin dengan tidak bertemu jodoh sekarang, saya dapat menumpukan sepenuhnya kepada pengajian saya kerana inilah kemampuan saya. Mungkin saya masih belum bertemu dengan teman hidup yang ditakdirkan kepada saya. Mungkin sekiranya saya berkahwin sekarang, saya tidak dapat mengimbangi di antara pelajaran dan keluarga kerana saya tidak mampu, dan banyak lagi. Dan saya paling terkesan, bila luahan hati dan kerisauan ini saya panjangkan kepada ayah, beliau amat berfikiran positif. Jawapan yang beliau berikan kepada saya, "Pada kebiasaannya, Allah tidak akan memberi dua ni'mat yang besar sekaligus. Dia akan memberikan kepada kita satu persatu. Sekarang saya dianugerahkan dengan ni'mat dan ujian untuk menyambungkan pengajian ke luar negara. Jadi, ni'mat berumahtangga belum didatangkan lagi kepada saya. Terimalah yang pertama dulu. Tangani dan hadapi dengan baik. Insha-Allah, pasangan hidup akan didatangkan kepada saya. Cuma mungkin belum berjumpa lagi."
Subhanallah. Amat tepat kata-kata ayah, walaupun saya mengetahui beliau lebih senang hati jika saya berkahwin dulu sebelum meneruskan pengajian. Memang positif pemikiran ayah. Dan bila saya amati, bukan saya seorang yang masih bujang di usia ini. Masih ada lagi yang 'single' tapi lebih berusia dari saya. Sekadar untuk melegakan hati. Selain dari kata-kata ayah, saya juga dapat simpulkan bahawa sejauh mana pun kita merancang supaya bertemu jodoh dan seterusnya mendirikan rumahtangga, tapi jika tidak diizinkan Allah, tidak akan menjadi juga. Segala ketentuan terletak di 'tangan'Nya.
Meskipun saya sebagai manusia biasa tidak dapat lari dari perasaan runsing dan bimbang bila memikirkan akan hal ini, tapi apa yang saya dapat lakukan ialah berdoa kepadaNya. Agar dipermudahkan urusan dalam mencari jodoh. Mendapat jodoh (suami) yang soleh, yang dapat bersama-sama 'melahirkan' zuriat yang soleh dan solehah, yang mana kami berkasih-sayang keranaNya, yang mana jodoh (suami) yang terus mendekatkan diri saya kepadaNya, terus berkhidmat untuk Islam, tidak sombong dan bongkak terhadap orang tua.
Insha-Allah, buat masa sekarang saya akan menumpukan apa yang pasti di hadapan saya. Dan untuk urusan mencari jodoh, saya sekadar boleh berusaha dan segala ketentuan saya kembalikan kepadaNya. Sesungguhnya DIA Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya...

Monday, July 16, 2007

Meniti liku-liku kehidupan



Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Alhamdulillah, hari ini 17 Julai 2007 genap setahun saya bertugas sebagai pensyarah di UTP. Bagaikan tidak percaya, begitu cepat tempoh masa selama setahun berlalu. Masih terbayang di minda, di hari pertama melangkahkan kaki di sini, mengenali dunia kerja dengan lebih dekat, berhadapan dengan para pelajar di dalam dewan kuliah, bergaul dengan rakan pejabat dan banyak lagi. Alhamdulillah, satu ni'mat pengalaman yang perlu disyukuri. Supaya diri lebih pandai menghargai ni'mat yang Allah beri.

Sepanjang bulan Jun dan awal Julai tahun ini, saya disibukkan dengan pelbagai perkara. Bermula dengan kenduri kahwin sepupu pada 31 Mei dan 1 Jun (pulang ke Kota Bharu), hujung minggu seterusnya (7 dan 8 Julai) terpaksa ke KL untuk mengambil dan mengisi borang BTN, 14/7 (Sabtu) terlibat sebagai fasilitator untuk program calon biasiswa Petronas ke UTP (EduCamp) sepanjang hari, 21-25/7 ambil cuti untuk ikuti kursus BTN di Ulu Sepri,Negeri Sembilan, 29 dan 30 Jun terlibat dengan program pertandingan Tilawah dan Hafazan al-Qur'an (Ihtifal al-Qur'an), 7 dan 8 Julai ke KL atas urusan peribadi, 11 dan 12 Julai menghadiri Seminar Warisan Nabawi anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM-dulu KUIM) dan langsung terus berada di KL sepanjang hujung minggu tu. Bila dilihat balik akan perjalanan aktiviti saya, memang agak padat walaupun mungkin tak sesibuk orang lain. Namun saya berpuas hati sebab sekurang-kurangnya masa saya terisi, tidak terbuang begitu sahaja. Tapi bila dah selalu sibuk, bila datang ketika yang kita tidak sibuk, rasa kekok pula rasanya. Wallahu'alam. Hargailah ni'mat masa sebelum datangnya waktu sibuk.

Pagi tadi saya terbaca blog Ust Hasrizal, Saifulislam.com. Ada dia menyebut tentang erti perkahwinan, berkahwin dengan matlamat yang jelas. Juga artikel beliau yang menceritakan bagaimana dia bertemu jodoh dengan isterinya, bersikap jelas untuk 'memberi' dalam mendirikan perkahwinan, bukan hanya 'menerima'. Juga beliau mengatakan mendapat ketenangan apabila menerima isterinya sabagai pasangan hidup, walaupun tidak pernah bertemu, bercakap mahupun keluar bersama seperti pasangan-pasangan lain.Bila saya membaca artikel beliau, saya terasa amat lega, tenang. Terasa saya berada di landasan yang benar, tidak tersasar dari jalan dan panduan yang Islam telah gariskan.

Saya belum mempunyai pasangan hidup. Dan sekarang dalam proses untuk mendapatkan pasangan hidup. Keluarga cuba mengaturkan jodoh saya dengan seseorang, anak kenalan ibu dan ayah saya. Namun, dengan kuasa Allah, apa yang dirancang tidak menjadi. Saya juga tidak dapat menerimanya kerana dia bukan 'jenis' lelaki yang saya cari. Maksud saya, tidak ada ciri-ciri utama yang saya cari ada pada dia. Dan keadaan yang berlaku, seperti 'perigi mencari timba'. Mungkin dia juga berpandangan sedemikian terhadap saya, tapi tidak meluahkannya secara terus-terang. Mungkin disebabkan ini adalah percaturan keluarga, masing-masing tidak mampu untuk berterus-terang. Dan apa yang nyata, sepanjang kami cuba berkenalan antara satu sama lain (secara sms), saya tidak jumpa ketenangan dalam diri saya. Rasa serabut, pening, gelisah menyelubungi diri saya sepanjang masa. Juga mungkin banyak mengikut hawa nafsu. Saya agak tersasar juga, asyik ber'sms' tapi lupa untuk bersolat istikharah dalam hal ni.

Alhamdulillah, setelah diuji dan diberi pengajaran untuk situasi sebegini, saya telah menetapkan hati supaya mengutamakan lelaki yang mempunyai latarbelakang agama, mempraktikkannya, memahami dan sanggup bekerja untuk Islam. Jika pernah membaca petikan doa yang saya panjatkan ke hadrat Allah di dalam blog ini, itulah ciri-ciri lelaki yang saya cari. Kadang-kadang takut juga, adakah saya terlalu idealistik dalam hal ini, adakah saya sendiri dapat menjadi seperti lelaki yang saya cari itu. Tapi itulah doa yang saya pohon di setiap solat hajat dan isktikharah yang saya tunaikan.

Buat masa sekarang, saya bertemu dan cuba mengatur (melalui perantaraan saudara perempuan saya) supaya bertemu jodoh dengan lelaki pilihan saya. Meskipun dia memiliki kekurangan dari sudut harta, tapi dia memiliki ciri-ciri lelaki yang saya cari. Memang banyak tentang hal peribadinya yang saya tidak tahu, tapi saya percaya dia mempunyai kefahaman dan pengamalan yang jelas tentang Islam. Cuma, yang menjadi penghalang dan meletakkan dia dalam dilema ialah halangan untuk menemani saya ke luar negara jika saya dapat menyambung pelajaran ke luar negara. Ini kerana tanggungjawabnya yang perlu dia pikul terhadap keluarganya, terutama ibunya dan juga tanggungjawabnya dalam kerja. Pada mulanya, saya meletakkan sedikit harapan, berharap agar perkara ini berjalan seperti yang dirancang. Namun, melihatkan keadaan ini, saya perlu bersikap lebih terbuka, bersedia untuk menerima keputusan sama ada positif atau negatif darinya. Cuma, apa yang pasti, perasaan saya lebih tenang dalam percaturan kali ini. Tidak lagi di'serabut'kan dengan sms yang tidak tentu hala tujunya, tidak bermain dengan perasaan dan dalam masa yang sama dapat menumpukan pada kerja saya sehari-hari.


Yang pasti, kali ini, saya rasa lebih dekat dengan Allah dalam memohon mendapatkan jodoh, tiada rasa risau dan gelisah. Walaupun dia masih belum dapat memberi kata putus, tapi saya bersedia dengan apa jua keputusannya. Jika jawapan darinya positif, saya menganggap inilah jodoh yang Allah tentukan kepada saya. Jika jawapannya darinya tidak positif, saya menganggap dia bukan jodoh saya. Bermakna Allah telah menetapkan dia bukan jodoh saya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.

Bukanlah bila saya menyebut begini, saya ingin mengatakan bahawa saya seorang yang sangat bagus, baik begitu dekat dengan Allah. Bukan. Terlalu nipis iman saya dan terlalu banyak dosa yang saya lakukan sehari-hari. Cuma inilah pendekatan yang terbaik yang perlu saya lakukan. Segala-galanya perlu kembali kepadaNya. Kita hanya mampu berusaha, tetapi natijahnya terletak di tangan ALLAH. Sesungguhnya DIA Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.


Semoga saya dapat terus bersikap lapang dada seperti ini. Dapat berfikiran positif dalam semua keadaan. Dan semoga Allah terus memberkati, dan merahmati atas segala usaha yang kita lakukan.






Wallahu a'lam.

Sunday, June 3, 2007

Kembali setelah kembali

Bismillah al-Rahman al-Rahim

Kembali menyambung perjuangan setelah kembali ke kampung halaman.


4 Jun 2007, kembali melangkah ke pejabat setelah tiga hari tidak berada di bumi Perak. Meskipun tiba di Bandar Seri Iskandar dalam jam 4 pagi, Alhamdulillah masih bermaya dan bertenaga untuk meneruskan kerja seperti biasa hari ini. Banyak benda yang perlu dibereskan. Cukuplah cuti selama 3 hari di Kota Bharu, walaupun anak saudara, Nabihah menyebut semalam, "Sekejapnya Che Su balik."

Walaupun kerja agak berlambak di pejabat, tapi rasanya berbaloi pulang bercuti 3 hari lepas. Urusan pejabat langsung tak disentuh, tapi beberapa perkara peribadi dapat dibereskan. Selesailah masalah nak dijodohkan dengan individu yang tidak begitu 'kena' dengan diri ini, dapat menjalinkan kembali silaturrahim dengan adik-beradik mak (bapa dan ibu saudara sebelah mak), sepupu-sepupu dan juga adik-beradik sendiri meskipun tak cukup korum (sorang tak balik). Juga dapat bersama-sama, menatap dan melihat wajah ibu tercinta; berdiskusi, berbincang, mengadu masalah dengan ayahanda tersayang.


Rasanya sepanjang tiga hari di kampung, senyum tidak pernah lekang dari bibir. Apatah lagi melihatkan gelagat anak-anak saudara yang pelbagai, kemeriahan dan kebisingan mereka bermain di rumah 'sidi' (atuk) dan siti (nenek), juga bila mendengar usik-mengusik dan bertukar-tukar cerita di antara sepupu-sepupu. Kebetulan ramai yang pulang sempena majlis perkahwinan sepupu lelaki, menjadikan suasana lebih meriah. Hilang stress dan bebanan kerja yang difikirkan sebelum ni, dan menjadikan lebih bersemangat untuk kembali meneruskan kerja.

Inilah lumrah dan rutin hidup yang perlu diseimbangi, di antara tanggungjawab terhadap kerja dan tanggungjawab terhadap keluarga. Namun tanggungjawab ini masih kecil. Diri ini masih belum diuji dengan tanggungjawab yang lebih besar. Moga cabaran dan ujian yang mendatang setimpal dengan kemampuan dan kudrat diri ini untuk memikul dan menanganinya.

Monday, May 28, 2007

Hari ini

Bismillah al-Rahman al-Rahim

Hari ini agak 'down', walaupun diikuti dengan semangat untuk selesaikan marking kertas jawapan student. Bangun pagi agak lewat, 6.15 pg. Cadang untuk puasa ganti hari ini terus lebur. Mungkin sebab tidur lewat malam tadi, menyebabkan tak dapat bangun awal pagi.

Mandi, solat subuh, tadarus al-Qur'an, gosok baju, sarapan. Kebetulan tengah kacau milo, S call. Minta tolong belikan kuih untuk dia. Wokey, no problem.

On the way ke office, ambil 'L' dulu. Oh, lupa, dia minta tolong hantarkan dia ke unit peperiksaan dan seterusnya ke M H. Ok. Sebab tak de kelas, so tak de masalah. Lepas settle semua benda, beli kuih dekat kafeteria sebelah CIMB. Dan terus ke pejabat. Agak lambat hari ni. Pukul 8.35 baru masuk bilik.

Just baru buka PC dan nak duduk, 'L' call. Walkie-talkie tertinggal dalam kereta. Hmmm...memang ada pun dalam kereta. Dengan langkah yang lemah-lembut,pergilah hantar ke M H.

Sekali fikir, 'ana' ni baik sangat ke? Baik sangat sampai orang ambil kesempatan ke? Rasanya bukan macam tu. Baik sampai tak mampu nak tolak kalau orang minta tolong. Main iya aje.Tu yang barangkali orang syok nak minta tolong sebab kita tak membantah. Insha-Allah, setakat ni masih ikhlas untuk tolong orang. Cuma bimbang, kalau-kalau sampai satu tahap, memang fed-up nak tolong orang (itu). Ni dah terbukti sebelum ni. Ana terlampau baik dengan seseorang, main iya aje kalau dia minta tolong, sampai satu tahap ana dah tak boleh nak terima, dekati dia. Timbul perasaan jemu untuk tolong. Hinggakan sampai satu tahap, tak mahu jumpa dalam masa terdekat. Tapi, Alhamdulillah, semua tu dah berakhir. Ana dah kembali ok dengan dia.

Cuma ana bimbang perkara yang sama berlaku di sini. Bibit-bibit 'kejemuan' untuk membantu (orang yang sama) dah mula berputik. Bagi pihak dia, sebenarnya tidak ada apa-apa. Cuma di pihak ana akan timbul rasa tak ikhlas. Memang benarlah pepatah Melayu, buat baik berpada-pada. Buat jahat jangan sekali. Keikhlasan untuk membantu orang boleh bertukar kepada dosa kalau tidak dilakukan secara berpada-pada.

Wallahu 'alam. Mungkin tak boleh jadi orang baik sepanjang masa. Kena ada 'jahat'nya juga, tapi bertempat.

Wallahu 'alam.

Sunday, May 27, 2007

Mengingati Allah dalam keadaan susah dan senang

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Bila kita diingatkan supaya sentiasa kembali kepada Allah dan mengingatiNya dalam apa jua keadaan; susah mahupun senang, ia mengingatkan saya kepada satu potongan ayat Al-Qur'an, dari Surah An-Naml, ayat 40. Ayat al-Qur'an ini melekat di minda, kerana inilah di antara ayat Al-Qur'an yang dipertuturkan semasa saya menyampaikan kisah Nabi Sulaiman dan Balqis, di dalam pertandingan Bercerita Dalam Bahasa Arab peringkat Sekolah Menengah Agama, pada tahun 1996.

Firman Allah Ta'ala, yang bermaksud :

"Maka tatkala Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, dia pun berkata, "Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan ni'matNya), Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barang siapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia." (an-Naml: ayat 40).

Ternyata kita mudah mengingati Allah dan kembali kepadaNya apabila kita ditimpa kesusahan. Tetapi kita tidak mudah untuk kembali kepadaNya apabila kita dianugerahkan dengan ni'mat yang melimpah ruah, mahupun kejayaan yang tidak disangka-sangka. Berapa kerap kita bersyukur kepadaNya, berbanding dengan berapa kerap kita mengingatiNya bila ditimpa musibah?

Benarlah kata-kata Allah, di dalam surah al-Fajr, ayat 15 dan 16 yang bermaksud,


"Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakanNya dan diberiNya kesenangan, maka dia berkata, "Tuhanku menghinaku. Adapun bila Tuhan mengujinya lalu membatasi rezekinya, maka dia berkata: "Tuhanku menghinaku."

Juga di dalam surah al-Zumar, ayat 8, maksudnya ;

"Dan apabila manusia itu ditimpa kemudharatan, dia memohon (pertolongan) kepada Tuhannya dengan kembali kepadaNya; kemudian apabila Tuhan memberikan ni'matNya kepadanya, lupalah dia akan kemudharatan yang pernah dia berdoa (kepada Allah) untuk (menghilangkannya) sebelum itu..."

Adakah kita termasuk di dalam golongan sebegini? Moga dijauhkan Allah dari melupakanNya di waktu senang mahupun merungut kepadaNya ketika ditimpa kesusahan.

Ni'mat yang Allah anugerahkan kepada kita terlalu banyak. Tidak terhitung oleh manusia. Apatah lagi jika apa yang kita hajati dimakbulkan Allah. Mendapat jodoh, mendapat cahaya mata, memperoleh pekerjaan yang memuaskan, mendapat kejayaan dalam pelajaran. Terlalu banyak.

Diri ini juga telah dianugerah dengan ni'mat yang tidak terhitung, dan tidak terjangkau di pemikiran dan terbayang di mata. Alhamdulillah, selepas satu-satu Allah anugerahkan ni'mat. Tetapi semua ini dianggap sebagai ujian dari Allah, untuk menguji sejauh mana kita kembali dan bersyukur kepadaNya, juga sejauh mana kita mengunakan ni'mat tersebut dengan sebaik-baiknya.

Doa yang dipanjatkan kehadrat Allah

Bismillah al-Rahman al-Rahim

Bukan untuk mendabik diri. Bukan untuk mengatakan diri ini baik, bagus. Sekadar untuk berkongsi, betapa kita perlu kembali kepada Allah dalam segenap urusan, lebih-lebih lagi yang melibatkan urusan yang 'crucial' dalam hidup. Kenapa? Kerana ALLAH tahu apa yang terbaik untuk kita...

Inilah doa yang dipanjatkan kepada Allah, setiap kali menunaikan solat hajat. Moga dimakbulkan Allah dan moga diberkati setiap urusan yang dilakukan.

"Ya Allah, hambaMu ini memohon kepadaMu, agar dipermudahkan urusan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, sekiranya urusan ini mendekatkan diri hambaMu kepadaMu, menjadikan hambaMu ini berkhidmat untuk Islam, tidak menjadi sombong dan bongkak atas ilmu dan ijazah yang diperolehi.

Ya Allah, Tuhan sekalian alam. Ampunilah dosa kedua ibu bapaku. Rahmatilah mereka sebagaimana mereka merahmatiku ketika kecil. Tempatlah mereka di syurga dan di kalangan orang-orang yang soleh.

Ya Allah, jauhilah kami sekeluarga dari sebarang malapetaka mahupun musibah. Matikanlah kami dengan sebaik-baik kematian ( penghabisan).

Ya, Allah, rapatkanlah ukhuwwah dan persaudaraan di antara kami, adik-beradik. Jadikanlah kami berkasih-sayang keranaMu, Ya Allah.

Ya, Allah. Jadikanlah hambaMu ini anak yang solehah, isteri yang solehah. Dikurniakan suami yang soleh, suami yang dapat mendapat mendekatkan diriku kepadaMu, Ya Allah. Suami (jodoh) yang dapat menjadikan hambaMu ini terus berkhidmat untuk Islam. Suami (jodoh) yang mana kami berkasih-sayang keranaMu, Ya Allah. Dan kurniakanlah kepada hambaMu ini zuriat yang soleh dan solehah dan keluarga yang berteraskan ajaran Islam (baitul muslim).

Ya Allah, permudahkanlah urusan hambaMu ini dalam segenap perkara. Dan permudahkanlah urusan sahabat-sahabat, saudara-saudara hambaMu ini dalam mencapai cita-cita mereka.

Ya Allah, jadikanlah hambaMu ini hamba yang bersyukur di atas ni'matMu, dan tidak sekali-kali kufur, ya Allah.

Ya Allah, kurniakanlah kebaikan dan kecemerlangan kepada kami di dunia, dan kurniakanlah kebaikan dan kecemerlangan kepada kami di akhirat, dan jauhilah, hindarilah kami dari azab api neraka.

KepadaMu kami berserah dan memohon pertolongan. Amin, ya Rabb al-Alamin".

Kasih sayang

Bismillah al-Rahman al-Rahim

Dalam menghadapi cabaran berkaitan dengan perasaan dan mencari jodoh, kadang-kala agak memeningkan juga. Alhamdulillah, Allah masih memberikan kekuatan kepada saya untuk dugaan yang agak besar ini. Masih dapat mengawal diri dan perasaan, walaupun kadang-kala agak 'terleka' apabila dicucuk oleh syaitan.

Selesai solat tahajjud, hajat dan istikharah malam ni, tiba-tiba saya teringat salah sebuah nasyid yang pernah didendangkan oleh bekas penyanyi kumpulan Raihan-Nada Murni (kalau tidak salah saya). Saya masih cuba mendapatkan lirik penuh nasyid ini. Akan tetapi bait-bait yang masih saya ingat, begitu bermakna, berkesan dan menyentuh perasaan. Hayatilah rangkap nasyid tersebut, berkisar tentang Kasih Sayang...

Kasih sayang
Adalah fitrah kehidupan
Tiap insan yang punya perasaan

Kasih dan sayang
Andainya diutamakan
Pasti dunia dalam kedamaian
(2x)

Kasih yang sejati
Kasih pada Ilahi
Kerana DIA Maha Mengasihi
(2x)

...

Tuesday, May 22, 2007

Susahnya menghadapi kehidupan...



Bismillah al-Rahman al-Rahim








Firman Allah Ta'ala di dalam surah al-Balad, maksudnya, "Sesungguhnya Kami telah mencipta manusia berada dalam susah payah" (ayat 4).

Inilah yang menjadi kata azimat kepada saya setiap kali menghadapi sebarang cabaran (kata Cikgu Nik, guru ex-MMP; mehnah dan tribulasi). Potongan ayat Al-Qur'an yang akan diucap oleh ayah, apabila saya mengadu menghadapi sebarang masalah.

Benar firman Allah, manusia dicipta di dalam keadaan susah dan payah. Seterusnya tidak mudah bagi seorang yang bergelar manusia untuk menjalani kehidupan. Pelbagai proses yang perlu dijalani, dari kanak-kanak, kepada remaja, seterusnya dewasa dan akhirnya di alam warga emas.

Bagi diri ini, setelah hampir 27 tahun dihidupkan di atas muka bumi, dibentangkan dengan pelbagai ni'mat yang tidak terhitungnya, dan diduga dengan pelbagai cabaran yang bukan sedikit, saya dapat rasakan cabaran yang saya hadapi adalah tidak seberapa jika hendak dibandingkan dengan orang lain. Terlalu kecil jika nak dibandingkan dengan mereka yang berjawatan lebih tinggi, mahupun mereka yang dihimpit dengan kesusahan hidup. Ataupun jika hendak dibandingkan dengan kesusahan yang pernah ditempuh oleh keluarga saya, terutama ayah dan ibu. Dan...apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan kesusahan, cabaran yang ditempuh dan dihadapi oleh Rasulullah (selawat ke atas baginda) serta para sahabat...Terlalu jauh...Tetapi, iyalah, kita sebagai manusia yang tipis imannya, sentiasa mengeluh apabila ditimpa sedikit ujian dari Allah...
Banyakkanlah bersyukur kepada Allah dan semoga ujian yangg didatangkan kepada kita setimpal dengan keupayaan kita; bukan ujian yang tidak mampu kita pikul dan tangani.