Bismillah al-Rahman al-Rahim
Bukan untuk mendabik diri. Bukan untuk mengatakan diri ini baik, bagus. Sekadar untuk berkongsi, betapa kita perlu kembali kepada Allah dalam segenap urusan, lebih-lebih lagi yang melibatkan urusan yang 'crucial' dalam hidup. Kenapa? Kerana ALLAH tahu apa yang terbaik untuk kita...
Inilah doa yang dipanjatkan kepada Allah, setiap kali menunaikan solat hajat. Moga dimakbulkan Allah dan moga diberkati setiap urusan yang dilakukan.
"Ya Allah, hambaMu ini memohon kepadaMu, agar dipermudahkan urusan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, sekiranya urusan ini mendekatkan diri hambaMu kepadaMu, menjadikan hambaMu ini berkhidmat untuk Islam, tidak menjadi sombong dan bongkak atas ilmu dan ijazah yang diperolehi.
Ya Allah, Tuhan sekalian alam. Ampunilah dosa kedua ibu bapaku. Rahmatilah mereka sebagaimana mereka merahmatiku ketika kecil. Tempatlah mereka di syurga dan di kalangan orang-orang yang soleh.
Ya Allah, jauhilah kami sekeluarga dari sebarang malapetaka mahupun musibah. Matikanlah kami dengan sebaik-baik kematian ( penghabisan).
Ya, Allah, rapatkanlah ukhuwwah dan persaudaraan di antara kami, adik-beradik. Jadikanlah kami berkasih-sayang keranaMu, Ya Allah.
Ya, Allah. Jadikanlah hambaMu ini anak yang solehah, isteri yang solehah. Dikurniakan suami yang soleh, suami yang dapat mendapat mendekatkan diriku kepadaMu, Ya Allah. Suami (jodoh) yang dapat menjadikan hambaMu ini terus berkhidmat untuk Islam. Suami (jodoh) yang mana kami berkasih-sayang keranaMu, Ya Allah. Dan kurniakanlah kepada hambaMu ini zuriat yang soleh dan solehah dan keluarga yang berteraskan ajaran Islam (baitul muslim).
Ya Allah, permudahkanlah urusan hambaMu ini dalam segenap perkara. Dan permudahkanlah urusan sahabat-sahabat, saudara-saudara hambaMu ini dalam mencapai cita-cita mereka.
Ya Allah, jadikanlah hambaMu ini hamba yang bersyukur di atas ni'matMu, dan tidak sekali-kali kufur, ya Allah.
Ya Allah, kurniakanlah kebaikan dan kecemerlangan kepada kami di dunia, dan kurniakanlah kebaikan dan kecemerlangan kepada kami di akhirat, dan jauhilah, hindarilah kami dari azab api neraka.
KepadaMu kami berserah dan memohon pertolongan. Amin, ya Rabb al-Alamin".
No comments:
Post a Comment