Tuesday, July 17, 2007

Di antara cita-cita dan 'cinta'(?)


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Sekadar sedikit luahan hati terhadap situasi yang saya hadapi. Diharapkan agar apa yang diluahkan ini bukan bermaksud satu keluhan, rungutan mahupun tanda 'berputus asa' terhadap apa yang Allah tentukan kepada saya (na'uzubullahi min zalik).
Alhamdulillah, dalam usia saya yang masih muda (belum mencecah 30), saya diberi ni'mat (Insha-Allah) untuk melanjutkan pelajaran di peringkat PhD di luar negara dengan diberikan biasiswa oleh kerajaan. Ini sebenarnya satu anugerah yang besar, kerana tidak semua yang mendapat peluang seperti saya. Juga bermaksud doa yang dipohon selama ini telah dimakbulkan Allah. Walaupun sebelum ini saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk mendapat biasiswa ini, tapi ini mungkin rezeki saya. Dan menurut ayah, jika peluang ini ditolak, tak mungkin ia akan datang kembali. Di atas nasihatnya, petunjuk kecederungan hati selepas solat istikharah, proses pengurusan hal ini yang banyak dipermudahkanNya menyebabkan saya reda dan tekad untuk menyusuri laluan yang dibukakan untuk saya.
Walaubagaimanapun, bukan sedikit cabaran yang bakal saya tempuhi nanti. Tempoh pengajian selama 4 tahun di luar negara di peringkat paling tinggi dalam proses pengajian (secara formalnya, kerana tiada noktah dalam menuntut ilmu) adalah cabaran yang agak besar untuk saya hadapi. Apatah lagi, buat masa sekarang saya meletakkan situasi yang saya akan belajar di sana secara bersendirian, tidak ditemani oleh sesiapa. Maksud saya, saya tidak diiringi oleh seorang lelaki yang bernama 'suami' untuk bersama-sama saya di sana kelak.
Kadang-kadang agak malu dan segan rasanya untuk membicarakan hal ini. Tapi inilah hakikat yang tidak boleh kita tepis. Cuma yang menjadi persoalannya, bagaimana kita menangani keadaan ini. Memang banyak fikiran yang agak negatif bermain di fikiran saya, apabila melihatkan keadaan saya yang masih 'keseorangan' di kala usia hampir mencecah 30 (3 tahun lagi sebenarnya). Adakah saya ni berat jodoh? Adakah saya pernah melakukan dosa / perkara-perkara yang menyebabkan saya lambat bertemu jodoh? Adakah tidak berkahwin adalah keadaan yang terbaik untuk saya? Adakah saya terlalu memilih dalam mencari jodoh? Wallahu'alam, jika dilayan segala tanggapan negatif ini, tak mustahil dada saya akan bertambah sesak dan seolah-olah saya menyalahkan takdir atas apa yang berlaku. Dan sememangnya syaitan sedang menunggu peluang ini supaya kita lebih berfikiran negatif dan berprasangka terhadapNya...Sedangkan ALLAH Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.
Alhamdulillah, diri saya masih dibekalkan dengan fikiran yang waras dan iman yang mungkin tidak tebal tetapi masih ada terhadapNya. Jika keadaan ini dilihat dari sudut positif, memang banyak hikmah disebaliknya yang tidak dibentangkan kepada kita. Mungkin dengan tidak bertemu jodoh sekarang, saya dapat menumpukan sepenuhnya kepada pengajian saya kerana inilah kemampuan saya. Mungkin saya masih belum bertemu dengan teman hidup yang ditakdirkan kepada saya. Mungkin sekiranya saya berkahwin sekarang, saya tidak dapat mengimbangi di antara pelajaran dan keluarga kerana saya tidak mampu, dan banyak lagi. Dan saya paling terkesan, bila luahan hati dan kerisauan ini saya panjangkan kepada ayah, beliau amat berfikiran positif. Jawapan yang beliau berikan kepada saya, "Pada kebiasaannya, Allah tidak akan memberi dua ni'mat yang besar sekaligus. Dia akan memberikan kepada kita satu persatu. Sekarang saya dianugerahkan dengan ni'mat dan ujian untuk menyambungkan pengajian ke luar negara. Jadi, ni'mat berumahtangga belum didatangkan lagi kepada saya. Terimalah yang pertama dulu. Tangani dan hadapi dengan baik. Insha-Allah, pasangan hidup akan didatangkan kepada saya. Cuma mungkin belum berjumpa lagi."
Subhanallah. Amat tepat kata-kata ayah, walaupun saya mengetahui beliau lebih senang hati jika saya berkahwin dulu sebelum meneruskan pengajian. Memang positif pemikiran ayah. Dan bila saya amati, bukan saya seorang yang masih bujang di usia ini. Masih ada lagi yang 'single' tapi lebih berusia dari saya. Sekadar untuk melegakan hati. Selain dari kata-kata ayah, saya juga dapat simpulkan bahawa sejauh mana pun kita merancang supaya bertemu jodoh dan seterusnya mendirikan rumahtangga, tapi jika tidak diizinkan Allah, tidak akan menjadi juga. Segala ketentuan terletak di 'tangan'Nya.
Meskipun saya sebagai manusia biasa tidak dapat lari dari perasaan runsing dan bimbang bila memikirkan akan hal ini, tapi apa yang saya dapat lakukan ialah berdoa kepadaNya. Agar dipermudahkan urusan dalam mencari jodoh. Mendapat jodoh (suami) yang soleh, yang dapat bersama-sama 'melahirkan' zuriat yang soleh dan solehah, yang mana kami berkasih-sayang keranaNya, yang mana jodoh (suami) yang terus mendekatkan diri saya kepadaNya, terus berkhidmat untuk Islam, tidak sombong dan bongkak terhadap orang tua.
Insha-Allah, buat masa sekarang saya akan menumpukan apa yang pasti di hadapan saya. Dan untuk urusan mencari jodoh, saya sekadar boleh berusaha dan segala ketentuan saya kembalikan kepadaNya. Sesungguhnya DIA Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya...

No comments: