Wednesday, January 30, 2008

Bagaimana kita menerima ujian dari Allah?


Salam,

Lama dah rasanya menyepi dari blog ni. Mungkin sebab sibuk dengan 'friendster' dan 'fotopages', nak menulis blog dah terabai. Juga didatangkan dengan perkara-perkara yang tak diduga. Namun, saya kembali untuk meluahkan rasa hati.

Bagaimana kita menerima ujian yang Allah datangkan kepada kita? Sekarang, saya diuji dengan kata-kata yang pernah saya ungkapkan sendiri. Dalam usrah dan majlis ilmu, saya pernah memberitahu, yang kita perlu mengingati Allah dalam keadaan susah dan senang. Ujian semasa kesenanganlah antara ujian yang amat besar, kerana Dia mahu melihat sejauh mana kita bersyukur dan kembali kepadaNya sewaktu hidup kita dilimpahi dengan kesenangan.

Juga, kita perlu faham, jika kita ingin berjuang untuk Islam. Perlu pandai membahagikan masa dan tanggungjawab kita, sebagai seorang pelajar dan sebagai orang yang terlibat dalam persatuan. Begitu juga jika kita telah bekerja dan berumahtangga. Perlu bijak membahagikan masa dan menyeimbangkan di antara tanggungjawab sebagai pekerja, sebagai suami atau isteri di rumah, sebagai ibu, ayah atau anak dengan tanggungjawab sebagai seorang 'pekerja' dalam gerak kerja Islam.

Nah, sekarang kata-kata yang pernah saya luahkan ini, telah kena kepada diri saya sendiri. Saya didatangkan satu tanggungjawab baru sebagai seorang yang ingin menyumbangkan untuk Islam. Satu perkara yang saya tidak pernah terfikir atau termimpi sebelum ini. Tetapi, kini tanggungjawab itu telah tergalas di atas bahu saya. Saya tidak mampu menolak, walaupun saya berhak kerana memikirkan mungkin ini peluang untuk saya membuktikan kata-kata dan doa yang saya lafazkan dalam setiap solat hajat, supaya terus berkhidmat untuk Islam.

Bukan mudah sebenarnya, untuk memikul tanggungjawab ini dalam keadaan saya bergelar seorang pelajar yang menuntut banyak masa untuk mentelaah pelajaran. Cuma, mungkin kelapangan yang saya ada ialah saya belum berkeluarga. Hanya menguruskan diri sendiri, tanpa ada suami atau anak buat masa sekarang untuk saya tumpukan perhatian kepada mereka. Jadi, ini adalah satu kelapangan yang membenarkan saya untuk memikul tanggungjawab ini. Namun, bukan semudah itu untuk melaksanakannya.

Kadang-kadang, hati jahat saya berfikir, perkara ini adalah satu bebanan buat saya. Kenapalah kita perlu bersusah-susah untuk berorganisasi, demi untuk memberikan sumbangan dalam gerak kerja Islam? Belajar dan menguruskan keluarga (tapi bukan untuk saya) sudah cukup memenatkan dan dikira 'part of ibadah', jika ikhlas niat kita. Tak mustahil pengajian boleh tunggang-langgang, rumahtangga boleh jadi lintang-pukang jika tidak pandai mengimbanginya denga baik.

Tapi, bila saya fikir balik, bila melihat dari sudut yang positif, inilah ujian yang Allah datangkan kepada kita. Satu ujian, satu 'test' untuk melihat sejauh mana kita boleh tetap teguh dengan pendirian kita untuk berkhidmat untuk Islam, seperti yang kita lafazkan. Seperti yang Allah sebut di dalam surah al-Ankaabut, ayat 2 dan 3, "Apakah manusia mengira mereka akan dibiarkan untuk mengatakan bahawa mereka beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu. Maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui mereka yang benar dan mereka yang dusta."

Ujian itu ibarat sebagai satu garis ukuran untuk melihat adakah kita mampu menghadapi dan mengatasinya. Jika kita dapat berdepan dan menghadapi ujian ini dengan baik, ibaratnya kita telah naik selangkah ke tahap yang lebih tinggi kerana telah melepasi ujian sebelumnya.

Jadinya, saya benar-benar berharap agar saya dapat melepasi ujian ini dengan baik. Tidak tergelincir di mana-mana jalan dalam melepasi ujian ini. Juga, agar saya ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan. Saya tahu, ia bukan mudah, tetapi saya harus terus tabahkan hati agar dapat menghadapi dan melepasi ujian ini dengan sebaik-baiknya. Saya perlu banyak bersabar, berusaha dan berdoa kepadaNya agar sentiasa dipermudahkanNya segala urusan yang bakal saya lalui.

Semoga Allah tabahkan dan lapangkan hati dan dada saya dalam menempuh ujian dan cabaran ini, dan moga saya beroleh kejayaan di akhirnya, Insha-Allah...

No comments: