~rindukan harta, harta akan lupus; rindukan manusia, manusia akan binasa; rindukan ALLAH, rindu akan kekal abadi~
Thursday, July 19, 2007
Meletakkan ilmuwan dalam arus perdana...
Tuesday, July 17, 2007
Di antara cita-cita dan 'cinta'(?)
Monday, July 16, 2007
Meniti liku-liku kehidupan
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang
Alhamdulillah, hari ini 17 Julai 2007 genap setahun saya bertugas sebagai pensyarah di UTP. Bagaikan tidak percaya, begitu cepat tempoh masa selama setahun berlalu. Masih terbayang di minda, di hari pertama melangkahkan kaki di sini, mengenali dunia kerja dengan lebih dekat, berhadapan dengan para pelajar di dalam dewan kuliah, bergaul dengan rakan pejabat dan banyak lagi. Alhamdulillah, satu ni'mat pengalaman yang perlu disyukuri. Supaya diri lebih pandai menghargai ni'mat yang Allah beri.
Sepanjang bulan Jun dan awal Julai tahun ini, saya disibukkan dengan pelbagai perkara. Bermula dengan kenduri kahwin sepupu pada 31 Mei dan 1 Jun (pulang ke Kota Bharu), hujung minggu seterusnya (7 dan 8 Julai) terpaksa ke KL untuk mengambil dan mengisi borang BTN, 14/7 (Sabtu) terlibat sebagai fasilitator untuk program calon biasiswa Petronas ke UTP (EduCamp) sepanjang hari, 21-25/7 ambil cuti untuk ikuti kursus BTN di Ulu Sepri,Negeri Sembilan, 29 dan 30 Jun terlibat dengan program pertandingan Tilawah dan Hafazan al-Qur'an (Ihtifal al-Qur'an), 7 dan 8 Julai ke KL atas urusan peribadi, 11 dan 12 Julai menghadiri Seminar Warisan Nabawi anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM-dulu KUIM) dan langsung terus berada di KL sepanjang hujung minggu tu. Bila dilihat balik akan perjalanan aktiviti saya, memang agak padat walaupun mungkin tak sesibuk orang lain. Namun saya berpuas hati sebab sekurang-kurangnya masa saya terisi, tidak terbuang begitu sahaja. Tapi bila dah selalu sibuk, bila datang ketika yang kita tidak sibuk, rasa kekok pula rasanya. Wallahu'alam. Hargailah ni'mat masa sebelum datangnya waktu sibuk.
Pagi tadi saya terbaca blog Ust Hasrizal, Saifulislam.com. Ada dia menyebut tentang erti perkahwinan, berkahwin dengan matlamat yang jelas. Juga artikel beliau yang menceritakan bagaimana dia bertemu jodoh dengan isterinya, bersikap jelas untuk 'memberi' dalam mendirikan perkahwinan, bukan hanya 'menerima'. Juga beliau mengatakan mendapat ketenangan apabila menerima isterinya sabagai pasangan hidup, walaupun tidak pernah bertemu, bercakap mahupun keluar bersama seperti pasangan-pasangan lain.Bila saya membaca artikel beliau, saya terasa amat lega, tenang. Terasa saya berada di landasan yang benar, tidak tersasar dari jalan dan panduan yang Islam telah gariskan.
Saya belum mempunyai pasangan hidup. Dan sekarang dalam proses untuk mendapatkan pasangan hidup. Keluarga cuba mengaturkan jodoh saya dengan seseorang, anak kenalan ibu dan ayah saya. Namun, dengan kuasa Allah, apa yang dirancang tidak menjadi. Saya juga tidak dapat menerimanya kerana dia bukan 'jenis' lelaki yang saya cari. Maksud saya, tidak ada ciri-ciri utama yang saya cari ada pada dia. Dan keadaan yang berlaku, seperti 'perigi mencari timba'. Mungkin dia juga berpandangan sedemikian terhadap saya, tapi tidak meluahkannya secara terus-terang. Mungkin disebabkan ini adalah percaturan keluarga, masing-masing tidak mampu untuk berterus-terang. Dan apa yang nyata, sepanjang kami cuba berkenalan antara satu sama lain (secara sms), saya tidak jumpa ketenangan dalam diri saya. Rasa serabut, pening, gelisah menyelubungi diri saya sepanjang masa. Juga mungkin banyak mengikut hawa nafsu. Saya agak tersasar juga, asyik ber'sms' tapi lupa untuk bersolat istikharah dalam hal ni.
Alhamdulillah, setelah diuji dan diberi pengajaran untuk situasi sebegini, saya telah menetapkan hati supaya mengutamakan lelaki yang mempunyai latarbelakang agama, mempraktikkannya, memahami dan sanggup bekerja untuk Islam. Jika pernah membaca petikan doa yang saya panjatkan ke hadrat Allah di dalam blog ini, itulah ciri-ciri lelaki yang saya cari. Kadang-kadang takut juga, adakah saya terlalu idealistik dalam hal ini, adakah saya sendiri dapat menjadi seperti lelaki yang saya cari itu. Tapi itulah doa yang saya pohon di setiap solat hajat dan isktikharah yang saya tunaikan.
Buat masa sekarang, saya bertemu dan cuba mengatur (melalui perantaraan saudara perempuan saya) supaya bertemu jodoh dengan lelaki pilihan saya. Meskipun dia memiliki kekurangan dari sudut harta, tapi dia memiliki ciri-ciri lelaki yang saya cari. Memang banyak tentang hal peribadinya yang saya tidak tahu, tapi saya percaya dia mempunyai kefahaman dan pengamalan yang jelas tentang Islam. Cuma, yang menjadi penghalang dan meletakkan dia dalam dilema ialah halangan untuk menemani saya ke luar negara jika saya dapat menyambung pelajaran ke luar negara. Ini kerana tanggungjawabnya yang perlu dia pikul terhadap keluarganya, terutama ibunya dan juga tanggungjawabnya dalam kerja. Pada mulanya, saya meletakkan sedikit harapan, berharap agar perkara ini berjalan seperti yang dirancang. Namun, melihatkan keadaan ini, saya perlu bersikap lebih terbuka, bersedia untuk menerima keputusan sama ada positif atau negatif darinya. Cuma, apa yang pasti, perasaan saya lebih tenang dalam percaturan kali ini. Tidak lagi di'serabut'kan dengan sms yang tidak tentu hala tujunya, tidak bermain dengan perasaan dan dalam masa yang sama dapat menumpukan pada kerja saya sehari-hari.
Yang pasti, kali ini, saya rasa lebih dekat dengan Allah dalam memohon mendapatkan jodoh, tiada rasa risau dan gelisah. Walaupun dia masih belum dapat memberi kata putus, tapi saya bersedia dengan apa jua keputusannya. Jika jawapan darinya positif, saya menganggap inilah jodoh yang Allah tentukan kepada saya. Jika jawapannya darinya tidak positif, saya menganggap dia bukan jodoh saya. Bermakna Allah telah menetapkan dia bukan jodoh saya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.
Bukanlah bila saya menyebut begini, saya ingin mengatakan bahawa saya seorang yang sangat bagus, baik begitu dekat dengan Allah. Bukan. Terlalu nipis iman saya dan terlalu banyak dosa yang saya lakukan sehari-hari. Cuma inilah pendekatan yang terbaik yang perlu saya lakukan. Segala-galanya perlu kembali kepadaNya. Kita hanya mampu berusaha, tetapi natijahnya terletak di tangan ALLAH. Sesungguhnya DIA Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.
Semoga saya dapat terus bersikap lapang dada seperti ini. Dapat berfikiran positif dalam semua keadaan. Dan semoga Allah terus memberkati, dan merahmati atas segala usaha yang kita lakukan.
Wallahu a'lam.