Monday, May 28, 2007

Hari ini

Bismillah al-Rahman al-Rahim

Hari ini agak 'down', walaupun diikuti dengan semangat untuk selesaikan marking kertas jawapan student. Bangun pagi agak lewat, 6.15 pg. Cadang untuk puasa ganti hari ini terus lebur. Mungkin sebab tidur lewat malam tadi, menyebabkan tak dapat bangun awal pagi.

Mandi, solat subuh, tadarus al-Qur'an, gosok baju, sarapan. Kebetulan tengah kacau milo, S call. Minta tolong belikan kuih untuk dia. Wokey, no problem.

On the way ke office, ambil 'L' dulu. Oh, lupa, dia minta tolong hantarkan dia ke unit peperiksaan dan seterusnya ke M H. Ok. Sebab tak de kelas, so tak de masalah. Lepas settle semua benda, beli kuih dekat kafeteria sebelah CIMB. Dan terus ke pejabat. Agak lambat hari ni. Pukul 8.35 baru masuk bilik.

Just baru buka PC dan nak duduk, 'L' call. Walkie-talkie tertinggal dalam kereta. Hmmm...memang ada pun dalam kereta. Dengan langkah yang lemah-lembut,pergilah hantar ke M H.

Sekali fikir, 'ana' ni baik sangat ke? Baik sangat sampai orang ambil kesempatan ke? Rasanya bukan macam tu. Baik sampai tak mampu nak tolak kalau orang minta tolong. Main iya aje.Tu yang barangkali orang syok nak minta tolong sebab kita tak membantah. Insha-Allah, setakat ni masih ikhlas untuk tolong orang. Cuma bimbang, kalau-kalau sampai satu tahap, memang fed-up nak tolong orang (itu). Ni dah terbukti sebelum ni. Ana terlampau baik dengan seseorang, main iya aje kalau dia minta tolong, sampai satu tahap ana dah tak boleh nak terima, dekati dia. Timbul perasaan jemu untuk tolong. Hinggakan sampai satu tahap, tak mahu jumpa dalam masa terdekat. Tapi, Alhamdulillah, semua tu dah berakhir. Ana dah kembali ok dengan dia.

Cuma ana bimbang perkara yang sama berlaku di sini. Bibit-bibit 'kejemuan' untuk membantu (orang yang sama) dah mula berputik. Bagi pihak dia, sebenarnya tidak ada apa-apa. Cuma di pihak ana akan timbul rasa tak ikhlas. Memang benarlah pepatah Melayu, buat baik berpada-pada. Buat jahat jangan sekali. Keikhlasan untuk membantu orang boleh bertukar kepada dosa kalau tidak dilakukan secara berpada-pada.

Wallahu 'alam. Mungkin tak boleh jadi orang baik sepanjang masa. Kena ada 'jahat'nya juga, tapi bertempat.

Wallahu 'alam.

Sunday, May 27, 2007

Mengingati Allah dalam keadaan susah dan senang

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Bila kita diingatkan supaya sentiasa kembali kepada Allah dan mengingatiNya dalam apa jua keadaan; susah mahupun senang, ia mengingatkan saya kepada satu potongan ayat Al-Qur'an, dari Surah An-Naml, ayat 40. Ayat al-Qur'an ini melekat di minda, kerana inilah di antara ayat Al-Qur'an yang dipertuturkan semasa saya menyampaikan kisah Nabi Sulaiman dan Balqis, di dalam pertandingan Bercerita Dalam Bahasa Arab peringkat Sekolah Menengah Agama, pada tahun 1996.

Firman Allah Ta'ala, yang bermaksud :

"Maka tatkala Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, dia pun berkata, "Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan ni'matNya), Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barang siapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia." (an-Naml: ayat 40).

Ternyata kita mudah mengingati Allah dan kembali kepadaNya apabila kita ditimpa kesusahan. Tetapi kita tidak mudah untuk kembali kepadaNya apabila kita dianugerahkan dengan ni'mat yang melimpah ruah, mahupun kejayaan yang tidak disangka-sangka. Berapa kerap kita bersyukur kepadaNya, berbanding dengan berapa kerap kita mengingatiNya bila ditimpa musibah?

Benarlah kata-kata Allah, di dalam surah al-Fajr, ayat 15 dan 16 yang bermaksud,


"Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakanNya dan diberiNya kesenangan, maka dia berkata, "Tuhanku menghinaku. Adapun bila Tuhan mengujinya lalu membatasi rezekinya, maka dia berkata: "Tuhanku menghinaku."

Juga di dalam surah al-Zumar, ayat 8, maksudnya ;

"Dan apabila manusia itu ditimpa kemudharatan, dia memohon (pertolongan) kepada Tuhannya dengan kembali kepadaNya; kemudian apabila Tuhan memberikan ni'matNya kepadanya, lupalah dia akan kemudharatan yang pernah dia berdoa (kepada Allah) untuk (menghilangkannya) sebelum itu..."

Adakah kita termasuk di dalam golongan sebegini? Moga dijauhkan Allah dari melupakanNya di waktu senang mahupun merungut kepadaNya ketika ditimpa kesusahan.

Ni'mat yang Allah anugerahkan kepada kita terlalu banyak. Tidak terhitung oleh manusia. Apatah lagi jika apa yang kita hajati dimakbulkan Allah. Mendapat jodoh, mendapat cahaya mata, memperoleh pekerjaan yang memuaskan, mendapat kejayaan dalam pelajaran. Terlalu banyak.

Diri ini juga telah dianugerah dengan ni'mat yang tidak terhitung, dan tidak terjangkau di pemikiran dan terbayang di mata. Alhamdulillah, selepas satu-satu Allah anugerahkan ni'mat. Tetapi semua ini dianggap sebagai ujian dari Allah, untuk menguji sejauh mana kita kembali dan bersyukur kepadaNya, juga sejauh mana kita mengunakan ni'mat tersebut dengan sebaik-baiknya.

Doa yang dipanjatkan kehadrat Allah

Bismillah al-Rahman al-Rahim

Bukan untuk mendabik diri. Bukan untuk mengatakan diri ini baik, bagus. Sekadar untuk berkongsi, betapa kita perlu kembali kepada Allah dalam segenap urusan, lebih-lebih lagi yang melibatkan urusan yang 'crucial' dalam hidup. Kenapa? Kerana ALLAH tahu apa yang terbaik untuk kita...

Inilah doa yang dipanjatkan kepada Allah, setiap kali menunaikan solat hajat. Moga dimakbulkan Allah dan moga diberkati setiap urusan yang dilakukan.

"Ya Allah, hambaMu ini memohon kepadaMu, agar dipermudahkan urusan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, sekiranya urusan ini mendekatkan diri hambaMu kepadaMu, menjadikan hambaMu ini berkhidmat untuk Islam, tidak menjadi sombong dan bongkak atas ilmu dan ijazah yang diperolehi.

Ya Allah, Tuhan sekalian alam. Ampunilah dosa kedua ibu bapaku. Rahmatilah mereka sebagaimana mereka merahmatiku ketika kecil. Tempatlah mereka di syurga dan di kalangan orang-orang yang soleh.

Ya Allah, jauhilah kami sekeluarga dari sebarang malapetaka mahupun musibah. Matikanlah kami dengan sebaik-baik kematian ( penghabisan).

Ya, Allah, rapatkanlah ukhuwwah dan persaudaraan di antara kami, adik-beradik. Jadikanlah kami berkasih-sayang keranaMu, Ya Allah.

Ya, Allah. Jadikanlah hambaMu ini anak yang solehah, isteri yang solehah. Dikurniakan suami yang soleh, suami yang dapat mendapat mendekatkan diriku kepadaMu, Ya Allah. Suami (jodoh) yang dapat menjadikan hambaMu ini terus berkhidmat untuk Islam. Suami (jodoh) yang mana kami berkasih-sayang keranaMu, Ya Allah. Dan kurniakanlah kepada hambaMu ini zuriat yang soleh dan solehah dan keluarga yang berteraskan ajaran Islam (baitul muslim).

Ya Allah, permudahkanlah urusan hambaMu ini dalam segenap perkara. Dan permudahkanlah urusan sahabat-sahabat, saudara-saudara hambaMu ini dalam mencapai cita-cita mereka.

Ya Allah, jadikanlah hambaMu ini hamba yang bersyukur di atas ni'matMu, dan tidak sekali-kali kufur, ya Allah.

Ya Allah, kurniakanlah kebaikan dan kecemerlangan kepada kami di dunia, dan kurniakanlah kebaikan dan kecemerlangan kepada kami di akhirat, dan jauhilah, hindarilah kami dari azab api neraka.

KepadaMu kami berserah dan memohon pertolongan. Amin, ya Rabb al-Alamin".

Kasih sayang

Bismillah al-Rahman al-Rahim

Dalam menghadapi cabaran berkaitan dengan perasaan dan mencari jodoh, kadang-kala agak memeningkan juga. Alhamdulillah, Allah masih memberikan kekuatan kepada saya untuk dugaan yang agak besar ini. Masih dapat mengawal diri dan perasaan, walaupun kadang-kala agak 'terleka' apabila dicucuk oleh syaitan.

Selesai solat tahajjud, hajat dan istikharah malam ni, tiba-tiba saya teringat salah sebuah nasyid yang pernah didendangkan oleh bekas penyanyi kumpulan Raihan-Nada Murni (kalau tidak salah saya). Saya masih cuba mendapatkan lirik penuh nasyid ini. Akan tetapi bait-bait yang masih saya ingat, begitu bermakna, berkesan dan menyentuh perasaan. Hayatilah rangkap nasyid tersebut, berkisar tentang Kasih Sayang...

Kasih sayang
Adalah fitrah kehidupan
Tiap insan yang punya perasaan

Kasih dan sayang
Andainya diutamakan
Pasti dunia dalam kedamaian
(2x)

Kasih yang sejati
Kasih pada Ilahi
Kerana DIA Maha Mengasihi
(2x)

...

Tuesday, May 22, 2007

Susahnya menghadapi kehidupan...



Bismillah al-Rahman al-Rahim








Firman Allah Ta'ala di dalam surah al-Balad, maksudnya, "Sesungguhnya Kami telah mencipta manusia berada dalam susah payah" (ayat 4).

Inilah yang menjadi kata azimat kepada saya setiap kali menghadapi sebarang cabaran (kata Cikgu Nik, guru ex-MMP; mehnah dan tribulasi). Potongan ayat Al-Qur'an yang akan diucap oleh ayah, apabila saya mengadu menghadapi sebarang masalah.

Benar firman Allah, manusia dicipta di dalam keadaan susah dan payah. Seterusnya tidak mudah bagi seorang yang bergelar manusia untuk menjalani kehidupan. Pelbagai proses yang perlu dijalani, dari kanak-kanak, kepada remaja, seterusnya dewasa dan akhirnya di alam warga emas.

Bagi diri ini, setelah hampir 27 tahun dihidupkan di atas muka bumi, dibentangkan dengan pelbagai ni'mat yang tidak terhitungnya, dan diduga dengan pelbagai cabaran yang bukan sedikit, saya dapat rasakan cabaran yang saya hadapi adalah tidak seberapa jika hendak dibandingkan dengan orang lain. Terlalu kecil jika nak dibandingkan dengan mereka yang berjawatan lebih tinggi, mahupun mereka yang dihimpit dengan kesusahan hidup. Ataupun jika hendak dibandingkan dengan kesusahan yang pernah ditempuh oleh keluarga saya, terutama ayah dan ibu. Dan...apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan kesusahan, cabaran yang ditempuh dan dihadapi oleh Rasulullah (selawat ke atas baginda) serta para sahabat...Terlalu jauh...Tetapi, iyalah, kita sebagai manusia yang tipis imannya, sentiasa mengeluh apabila ditimpa sedikit ujian dari Allah...
Banyakkanlah bersyukur kepada Allah dan semoga ujian yangg didatangkan kepada kita setimpal dengan keupayaan kita; bukan ujian yang tidak mampu kita pikul dan tangani.