Monday, January 10, 2011

Kelahiran...




22 Disember 2010, 5.32 petang...

Tarikh dan hari bersejarah dalam hidup. Tak pernah tergambar dalam minda dan fikiran aku akan menempuh saat-saat melahirkan seorang bayi dan bergelar ibu...Pertengahan bulan Disember, saat-saat kelahiran semakin hampir. ALhamdulillah, chek dan ayah selamat sampai di Birmingham pada 14 Disember (Selasa), jam 6.45 petang, 2,3 hari sebelum salji lebat melanda seluruh UK termasuk Birmingham pada hari Sabtu, 18 Disember 2010. Dan saat-saat yang ditunggu-tunggu telah tiba...

Dalam lebih kurang pukul 11 atau 12 tengah malam Selasa, 21 Disember, aku dah mula rasa 'contraction'. Sebelum ni, dah 2,3 kali rasa sakit macam nak bersalin, tapi bila jalan-jalan, tukar posisi dan tidur, sakit tu hilang. Tapi kali ni tak. Aku cuba tidur, sakit tak juga hilang. Tapi kali ni aku dan bersedia. Dah 2,3 kali baca artikel tanda-tanda hampir kelahiran. Dalam pukul 2,3 pagi, aku turun ke bawah dan kebetulan chek n ayah terjaga, aku beritahu dah rasa sakit nak bersalin. Chek kata tunggu hingga keluar tanda-tanda dulu, seperti keluar darah. Ok. Tapi makin lama, rasa sakit makin kuat dan kerap. Setiap kali datang sakit, terpaksa tahan kuat-kuat dan selawat banyak-banyak. Dekat-dekat Subuh, bila hilang sakit, chek sediakan telur goreng dan suruh makan, untuk tambahkan tenaga. Dan pagi tu ingatkan nak terus ke hospital (Birmingham Women Hospital), tetapi bila telefon hospital, dia suruh tunggu hingga betul-betul sakit (katanya aku masih ok, masih boleh bercakap dengan baik). Mujurlah Abang Zul Telekom kebetulan lalu depan rumah dan datang singgah. Setelah bercakap melalui telefon dengan K.Odi (isteri Abang Zul), kami terus ke hospital dan Abang Zul turut dari belakang. Memang mencabar masa tu sebab salji tengah turun.

Sampai di hospital, aku tiba-tiba rasa menangis. Kebetulan Pauliena call pun, rasa macam sebak, tak leh nak bercakap bercampur dengan sakit 'contraction'. Dan bila diperiksa, rupanya bukaan dah sampai 6cm...Subhanallah. Mujurlah cepat datang. Kalau tak, maunya bersalin kat rumah aje.

Sakit 'contraction' ni boleh tahan juga. Setiap 5-10 minit, datang rass sakit macam sakit senggugut, tapi lebih kuat lagi. Memang tak leh nak buat apa-apa. Mujurlah chek dan ayah dan abe ada. Setiap kali sakit, aku pegang tangan abe kuat-kuat. Ayah pun bacakan doa, supaya aku kuat. Kemudian, 'midwife' datang ajar cara pernafasan yang betul bila datang rasa 'contraction'. Midwife yang jaga ni, orang Afrika. Dari Jamaica, kalau tak silap. ALhamdulillah, baik jugalah dia, walaupun nampak agak tegas. Siap buatkan teh dan bawakan makanan tengah hari lagi untuk kami.

Dalam pukul 4 pm kalau tak silap, bukaan dah mencecah 8 cm. Kali ni, midwife datang bawakan 'pain relief' gas ehonox kalau tk silap. Mulanya aku ingat nak tahan sakit tanpa ambil apa-apa, tapi aku ambil juga. Rasa sakit kurang sikit bila sedut gas ni, tapi tetap rasa juga sakitnya. Dan kemudian, midwife datang pecahkan air ketuban. Sebelum tu, ada dalam dua kali dia masukkan jari dalam rahim untuk check berapa besar dah bukaan. Masa tu sakit, Allah, tuhan sahaja yang tahu. Bila air ketuban dah dipecahkan rasa contactioan semakin kuat. Tapi kali ni aku terasa boleh hadapi sebab dah tahu sakit ni semakin ke penghujung. Dalam pukul 5 petang atau 4.30 ptg, aku pun dah lupa), midwife dah bersiap sedia dengan peralatan untuk hadapi saat-saat kelahiran. Mula-mula, midwife sapu dan urutkan 'ointment' kat belakangku. 'Sedap' dia urut, hingga aku dah mula meneran dan terasa nak keluarkan bayi. Rasa macam nak buang air tapi sakit yang amat sangat...

Mulanya, aku duduk dalam keadaan separa menirap, badan mengadap ke belakang katil yang ditinggikan kepala katil dan aku berpaut di situ. Tapi, bila lihatkan tak ada kesan mana, aku bertukar posisi dan berada dalam keadaan separa terlentang. Allahu Akbar, pertarungan bermula untuk keluarkan bayi pertama kami dari perutku yang didiaminya selama 9 bulan kurang sehari (bersalin awal sehari dari tarikh yang dijangka). Untuk meneran mengeluarkan kepalanya cukup susah bagiku. Cuma rasanya, kalau aku tahu teknik yang betul dan ada tenaga yang banyak, aku boleh lahirkan anak ini dengan baik. Midwife bagitau dia seboleh-bolehnya tidak mahu koyakkan 'laluanku', mahu aku bersalin secara semulajadi. Tapi, tenagaku kurang dan perasaan diselubungi kesakitan yang amat sangat. Aku disuruhnya midwife menyentuh lubang rahimku supaya aku dapat merasa kepala anakku yang sudah hampir keluar. Namun akhirnya, 'prap. prap', lubang rahimku digunting bagi memberi laluan kepada anak ini untuk keluar menjengah dunia luar. Lahirlah anak sulung kami, senyap mula-mulanya, dan kemudiannya baru menangis. Ditariknya anak suci ini dan diletakkan di dadaku (skin to skin with mum).

Allahu Akbar, tak percaya rasanya aku sudah bergelar ibu. Sudah punyai anak sendiri, untuk dibesarkan...