Hari ni, hampir masuk 2 bulan diriku mempunyai peneman di dalam perutku. Harapnya betullah, diriku ini berbadan dua. Setakat ni, Alhamdulillah, alahan tak begitu teruk. Ada hari-hari tertentu sahaja yang akan muntah di sebelah pagi. Cuma dua hari berturut-turut minggu lepas, aku muntah setelah makan bertambah. Pertamanya, makan nasi goreng, aku makan bertambah hingga dua pinggan. Nasi goreng Cina dengan ikan bilis goreng. Kesannya, tak lama lepas tu, bermula dengan batuk, terus keluarkan balik apa yang dimakan. Tak banyak pun muntah, tapi, aduh, perit tekak dan tak suka dengan bau muntah. Keesokkannya, aku masak kari ayam, kebetulan aku ambil giliran memasak untuk seorang adik yang baru bersalin. Setelah menziarahinya dan pulang 'study' di universiti, aku makan kari ayam tersebut cicah dengan roti. Berselera juga makan. Sampai bertambah 2 mangkuk. Tapi, ya Allah, selepas naik ke bilik sekejap, solat dan berehat, dan kemudian turun ke tandas, terus keluar balik apa yang dimakan tadi. Allahu Akbar! Cabaran sungguh menjadi ibu ni. Makan hanya sekadar, tak boleh berlebih. Jika tidak, jadilah macam ni.
Samalah juga keadaannya bila aku keluar makan-makan dengan rakan-rakan di Restoran Thai Edge minggu lepas. Asalnya, sekadar nak ajak makan-makan. Tapi, ada yang tahu, keesokkan harinya ulangtahun hari lahirku, rakan-rakan siap belikan kek dan hadiah sekali. Aduh, thanks guys! Aku makan makanan ala mihun, menu yang sama dipesan masa datang untuk sambut hari lahir Eti sebelum ni. Nak ambik makanan lain, tak berani sebab ada seafood, ada ayam (halal). Tu pun makan tak habis. Biasanya, aku jarang makan tak habis di kedai. Akan kuhabiskan, sebab tak nak membazir. Tapi kali ini, aku tak berani, takut terkeluar balik apa yang dimakan. Dan kesannya, balik sahaja di rumah, bila masuk ke dalam tandas untuk mengambil wudhuk, semua yang dimakan tadi dikeluarkan balik. Nampak ketulan mihun dan bau mihun goreng yang dimakan tadi. Habis baju dan seluar panjang terkena muntah. Aduh...penat dibuatnya...
Alhamdulillah, 2,3 hari ni, dah tak ada dah muntah-muntah. Sekadar batuk-batuk biasa yang kadang-kadang seperti nak muntah, tapi tiada apa yang dikeluarkan. Aku sudah mula beringat, tak boleh makan banyak sekaligus. Makan sikit-sikit, tapi kerap. Kecuali kalau makan benda yang ringan-ringan. Macam hari tu, aku goreng pisang, habis sepinggan aku makan sekaligus. ALhamdulillah, tak de kesan apa-apa. Tak de muntah.
Cuma hari ni, selera makan menurun sikit. Hari ni, aku sekadar menjamah sandwich berintikan sardin (tuna modified jadi sardin sos tomato). Nasi ada, telur asin yang digoreng semalam pun masih ada sedikit. Tapi tekak macam tak dapat menerimanya. Kari lebihan Jumaat lepas pun masih ada. Tapi rasanya aku dah tak boleh makan, bila makanan tu dimasak lebih dari 2 hari. Aduh, cerewet betul bila mengandung ni. Tapi, apakan daya, semuanya perlu dijaga. Seperti yang kubaca, bila mengandung, kita perlu prihatin dengan 'apa yang diberitahu oleh badan kita'. Kalau badan rasa letih, banyakkan berehat. Kalau tekak tak boleh nak terima makanan yang ada di depan mata, jangan makan. Mungkin ada kesan kemudiannya.
Apapun, yang penting, dalam 3,4 minggu akan datang ni, harap aku dapat menyelesaikan penulisan chapter ke 5 dengan sebaik-baiknya. Aku tak boleh minta untuk tangguhkan penghantarannya kali ini. Apapun, ia perlu disiapkan dalam masa yang ditetapkan. Abe pula akan pulang seminggu lebih sebelum aku menghantar chapter tersebut. Harapnya sebahagian besar daripada chapter tersebut dapat disiapkan sebelum abe balik. Dan harapnya keadaan kesihatanku yang tidak menentu ini tidak mengganggu untuk aku menyiapkan tugasanku ini, insha-Allah...
~rindukan harta, harta akan lupus; rindukan manusia, manusia akan binasa; rindukan ALLAH, rindu akan kekal abadi~
Monday, May 24, 2010
Friday, May 7, 2010
Moga ketenangan terus menyelubungi kami yang berjauhan...
Alhamdulillah, masuk hari ni, dah hampir 3 minggu aku pulang dari Egypt, menemui abe di sana. Percutian yang seronok dan menarik, ALhamdulillah. Dapat aku kenal akan bumi Mesir, memahami hidup abe, 5 tahun sebagai seorang pelajar di sana, menziarahi tempat-tempat bersejarah dan makam para auliya', dan yang paling dapat bertemu dengan kekasih hati...:)
Mujurlah perjalanan pulangku ke UK tidak menempuh sebarang masalah. Dan aku sangat-sangat bernasib baik, terlepas dari bencana 'ash valconic' dari Iceland yang menyebabkan semua penerbangan keluar dan masuk ke UK terkandas, dibatalkan. Aku sampai di Birmingham, UK hari Rabu, 14 April setelah transit hampir 5 jam di Paris. Masalah pembatalan penerbangan berlaku keesokkan harinya, Khamis, 15 April. Allahu Akbar, Allah Maha Besar, yang memudahkan dan menyelamatkan perjalananku pergi dan kembali dari bertemu suami. Jika tidak, aku mungkin terkandas di Mesir, atau mungkin di Paris. Kalau terkandas di Mesir, masih ok lagi, sebab bersama dengan suami. Tapi kalau terkandas di Paris, cuak jugak dibuatnya, mencari jalan untuk pulang ke UK. Mujurlah, semuanya selamat, Alhamdulillah.
Dan aku (juga abe juga, rasanya) mula merasakan ketenangan yang amat sangat, setelah 2 minggu digunakan sepenuhnya untuk bersama suami. Tidak seperti sebelum ini (sebelum aku ke Mesir), dalam seminggu, pasti akan ada aku terasa hati dengan abe, sama ada benda kecil atau besar. Dan hampir setiap hari kami akan ber'ym', mengingatkan masing-masing betapa rindunya kami antara satu sama lain, betapa kami ingin bersama-sama. Tapi sekarang, Alhamdulillah. Tidak berym setiap hari pun tidak begitu menjadi masalah bagi kami. Abe pun akan menempuh peperiksaan tak lama lagi. Jadi penting untuk dia tumpukan sepenuhnya pada pengajian, persediaan menghadapi peperiksaan. Aku sendiri, sekarang ni, mempunyai masa kurang dari 2 bulan untuk menghantar bab seterusnya. Harapnya dapat aku siapkan pada tarikh yang ditetapkan, insha-Allah.
Aku pun, sudah kurang emosional sekarang. Sudah boleh mengawal perasaan, berasa kuat walaupun tiada abe di sisi. Kerana, antara satu sebabnya, aku mempunyai 'peneman' di dalam perut sekarang, Alhamdulillah.:) Masih belum 'confirm' sepenuhnya, tapi rasanya dah betul, setelah 3 kali buat ujian. Temujanji dengan 'midwife' dan hospital pun dah dibuat. Cuma kalau nak betul-betul pasti, tunggu sehingga temujanji di hospital akhir bulan ni. Apapun, harapnya betul lah, ada 'isi' di dalam perut ini. 'Isi' 'made in Egypt', lahir di UK nanti, insha-Allah.
Alhamdulillah, aku tidak (atau belum lagi) berdepan dengan alahan yang teruk. Kalau ada pun, dalam 2 minggu lepas, aku kena sakit tekak yang amat sangat (Alhamdulillah pulih setelah beberapa hari berkumur dengan air garam), kemudian batuk yang berterusan (Alhamdulillah sekarang dah ok sikit) dan terkena sakit mata. Terkena sakit mata tu yang cukup mencabar diriku. Rasanya aku berjangkit dari suami K.Ita dan anaknya, semasa aku melawat K.Ita buat kali kedua. Tapi, selepas seminggu baru teruk aku kena jangkitannya. Malam tu, mata keluarkan tahi mata cair dan air mata tanpa henti, sampaikan nak tidur pun takut malam tu. Tapi Alhamdulillah, setelah 2,3 hari, dan berjumpa dengan GP dan mendapat ubat titik, mataku dah kembali pulih. Siap dapat pergi majlis BBQ di Cannock Chase lagi, minggu lepas (asalnya ingatkan tak dapat pergi, sebab sakit mata ni).
Apapun, harapnya kami suami-isteri terus diselubingi dengan ketenangan selama kami berjauhan selama 2 bulan lagi. Mujurlah tindakan tepat diambil untuk ke Mesir awal April lepas. Jika tidak, rasanya kami masing-masing tak dapat tumpukan pada pengajian. 2 minggu tu digunakan sepenuhnya untuk 'cas bateri' yang dah mula kering sejak 3 bulan yang lepas (setelah abe ke Mesir awal Januari tahun ni). Betullah, suami isteri tidak boleh berjauhan lebih dari 3 bulan. Nafkah zahir n batin (terutamanya nafkah batin) tidak boleh diabayaikan lebih dari 3 bulan. Jika tidak, boleh nanar dibuatnya...
Moga ketenangan yang memenuhi diri kami sekarang dapat menjadikan kami menumpukan kepada pengajian sepenuhnya, dan akan terus menautkan kasih-sayang, rahmat dan mawaddah dan kebahagiaan kami hingga ke akhir hayat, insha-Allah...
Subscribe to:
Posts (Atom)