~rindukan harta, harta akan lupus; rindukan manusia, manusia akan binasa; rindukan ALLAH, rindu akan kekal abadi~
Sunday, February 10, 2008
Ya Allah, rahmatilah kedua ibu bapaku!
Salam...
Saya baru sahaja 'surf' blog Mohd Fauzi Haji Abu Hussein, rakan satu 'bash' saya di APIUM NP dan KL. Satu Akademi, tapi berlainan jabatan. Fauzi di Jabatan Syariah dan Ekonomi, sementara saya di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam. Sekarang, Fauzi bersama keluarganya di Durham, melanjutkan pengajian peringkat PhD di Durham University. Fauzi ke UK lebih awal dari saya. Dia datang dalam awal tahun 2007, kalau tak silap saya mungkin dalam bulan Mac. Sementara saya datang pada akhir tahun 2007, dalam bulan Oktober.
Sekarang Fauzi dan zaujahnya (isterinya) dah bergelar 'abati' dan ummi. Mereka menerima kelahiran cahaya mata sulung pada 21 Januari 2008. Seorang puteri, bernama Nashwa binti Mohd Fauzi. Perkembangan tentang mereka saya ketahui melalui blog mereka, yang diusahakan oleh isteri Fauzi, Dr. Adlina.
Turut rasa gembira dengan kelahiran cahaya mereka. Tapi, saya jadi rasa terharu, amat-amat terharu bila melihat (melalui blog mereka) kedatangan kedua orang tua Fauzi ke UK, semata-mata nak menyambut kelahiran cucu mereka. Pastinya Fauzi dan Adlina belum biasa dan sedikit kekok dalam menerima kelahiran cahaya mata pertama mereka. Apatah lagi mereka menghadapi saat getir ini ketika berada di perantauan, dan tentunya memerlukan sokongan dan bantuan dari ahli keluarga yang lebih berpengalaman. Melihatkan kesanggupan kedua orang tua Fauzi ke UK, membuatkan saya hampir menitiskan air mata, mengenangkan akan kesanggupan kedua ibubapa kita untuk bersama-sama anak-anak mereka, baik dalam keadaan susah atau senang.
Jika saya yang berada di situasi Fauzi atau Adlina, saya berani jamin 'ayah' dan chek akan datang ke UK untuk melihat 'cucu'nya. Ini dah terbukti bila kakak saya, K.Na (Adlina) melahirkan Amal dahulu. Ayah dan chek sanggup datang dari jauh, semata-mata nak bersama-sama menyambut kelahiran cucunya dari anaknya yang ketiga ini. Rasanya ayah dan chek datang lebih awal, dan sempat bersama K.Na semasa dia melahirkan Amal Hayati. Ayah dan chek bukannya muda lagi. Rasanya pada waktu itu, Ayah telah mencecah umur pertengahan 60an dan chek di akhir 50an. Dan Ayah bukannya sentiasa senang dan lapang masa setiap masa. Kerja-kerja pejabat, kerja-kerja parti dan jemaah sentiasa memenuhi masa dia. Begitu juga dengan chek. Meskipun tidak seaktif ayah, tapi aktiviti di rumah tak pernah ada hentinya. Ada sahaja perkara yang perlu dilakukan dan dibereskan. Namun, bagi ayah dan chek, bila ada urusan keluarga yang perlu didahulukan, ayah dan chek tanpa teragak-agak meninggalkan urusan lain dan mendahulukan urusan keluarga. Subhanallah.
Semenjak saya menjejakkan kaki di sini, Ayah tak pernah 'fail' dari menghubungi saya setiap hujung minggu. Perkara yang beliau lakukan semasa saya mengikuti pengajian MA di sini dulu. Malahan, semasa saya bekerja di UTP, paling kurang ayah akan menghubungi saya sekali sehari. Selain bertanyakan khabar, juga bertanyakan urusan saya untuk ke UK nanti.
Inilah ibu dan bapa yang saya miliki. Dan saya percaya, secara umumnya, inilah sikap yang ditunjukkan oleh para ibu bapa kepada anak-anaknya. Merekalah yang bersama dengan kita, semasa kita dilanda kesusahan. Mereka tidak pernah merungut walau sedikit pun, atas apa yang mereka lakukan. Malahan, mereka tidak sedikit pun mengharapkan sebarang balasan mahupun ganjaran. Cukuplah bagi mereka agar kita menghormati mereka sebagai ibu bapa dan mengingati mereka di waktu kita senang.
Ya. Ibu bapa berada bersama-sama kita sewaktu kita susah. Tetapi, di waktu kita senang, adakah kita mengingati dan bersama mereka sebagaimana kita mahukan mereka berada bersama kita di waktu kita susah? Kita mudah lupa dan lupa diri bahawa di sebalik kejayaan kita, ada orang lain yang memberikan sokongan kepada kita. Kita menganggap kejayaan yang kita miliki adalah kejayaan kita yang mutlak. Sedangkan, tak mungkin kita mencapai semua ini tanpa sokongan dan dorongan dari orang lain, lebih-lebih lagi dari kedua ibu bapa kita. Dengan sikap demikian, rasa hormat kita kepada mereka mula mengurang. Kita sudah tidak lagi segan meninggikan suara mahupun mengambil endah atas apa jua permintaan mereka. Di waktu ini, kita menganggap bahawa kita lebih baik dan tinggi dari mereka. Dengan pangkat, kekayaan dan kebahagiaan yang kita miliki itu menyebabkan kita tidak lagi memerlukan mereka.
Tapi, ibu bapa tidak akan merungut jika anak-anak mereka bersikap demikian. Paling kurang, mereka hanya akan mengeluh di belakang. Tapi, untuk menyisihkan anak-anak dari hidup mereka, tidak sekali-kali. Mereka akan kembali kepada anak-anak jika anak-anak kembali memerlukan bantuan mereka.
Oleh itu, bersama-samalah kita bermuhasabah dan menilai diri kita sendiri. Sejauh mana kita memberikan penghormatan kepada kedua ibu bapa kita, meskipun di waktu kita sendiri telah bergelar ibu atau bapa. Sejauh mana kita boleh merendahkan diri di hadapan mereka, meskipun kita sendiri bergelar Prof, Prof Madya, Dr mahupun Dato' atau Tan Sri. Sejauh mana kita dapat memenuhi kehendak dan permintaan mereka, di waktu kita disibukkan dengan pelbagai urusan dunia.
Nilailah diri kita balik, dan kembalikanlah diri kita supaya menjadi anak yang soleh atau solehah. Hormatilah mereka walau di puncak mana sekalipun kita berada, luangkanlah sedikit masa untuk mereka walapun sesibuk mana kita pun dengan urusan-urusan kita. Sesungguhnya sedikit usaha yang kita lakukan ini tak mungkin dapat mengatasi pengorbanan yang telah mereka curahkan kepada kita yang tidak terhitung banyaknya. Tapi, dengan usaha yang sedikit inilah kita akan memperoleh keberkatan dalam kehidupan dan setiap urusan kita. Kerana kita tidak akan keredhaan dariNya, jika kita tidak mendapat keredhaan dari kedua ibu bapa kita. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Keredhaan Allah terletak pada keredhaan keredhaan kedua ibu bapa, dan kemurkaan ALlah terletak pada kemurkaan kedua ibu bapa".
Hormatilah mereka dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kita. Sama-samalah kita berdoa, agar ALlah mengampunkan dosa-dosa kita, dan dosa-dosa kedua ibu bapa kita. Serta agar Allah merahmati mereka, sebagaimana mereka mengasihi dan mendidik kita semasa kecil. Dan agar kita dan mereka dihindari dari azab api neraka di akhirat kelak...Amin...
Subscribe to:
Posts (Atom)