Saturday, November 17, 2007

Bangkitlah umatku....

Bismillah

Sekadar sedikit coretan. Satu nasyid dari kumpulan Alarm-Me yang saya baru ketemui di internet. Tajuknya, "Adakah Kau Lupa?". Begitu bersemangat lirik dan rentak nasyid ini. Boleh membakar semangat kita untuk kembali menjadi umat Islam yang cemerlang. Hayatilah bait-bait lirik dan irama nasyid ini. "Adakah Kau Lupa..?"


Sunday, November 11, 2007

Inilah masalah dan kelemahan diri yang perlu diperbaiki...


Bismillahi Ar-Rahman Ar-Rahim,


Sedikit luahan dan keluhan hati...
Inilah masalah yang sering aku alami dan aku masih belum dapat memperbaikinya. Tidak mampu berkata 'tidak', terlalu atau terlampau baik dengan seseorang sehingga 'agak' melebihi batasan dan mensia-siakan masa.
Rasanya, aku harus berterus-terang pada diri sendiri dan mencari di mana kesilapan yang perlu diperbaiki. Berkaitan dengan tidak mampu mengatakan 'tidak', perkara ini telah lama bersarang dalam diriku. Aku mula menyedari keadaan sebegini, tidak mampu bersikap tegas semasa aku berada di UM Nilam Puri. Aku masih ingat, ada ku letakkan satu poster (yang aku tulis sendiri), bertulis, 'Jangan takut untuk Mengatakan TIDAK!'. Tidak pasti sama ada masalah ini semakin selesai atau tidak selepas poster tu digantung, tetapi setiap kali aku berdepan dengan situasi sebegini, aku akan melihat kepada poster tu.


Namun sekarang, masalah ini berulang lagi.Bukanlah begitu ketara keadaan ini, tapi aku dapat rasakan, aku lebih banyak 'menjerut perasaan' dan mengatakan 'Insha-Allah, boleh' dalam setiap permintaan atau ajakan seseorang. Aku tidak mampu menolak, walaupun aku merasakan yang aku perlu menolak. Kenapa aku tak mampu menolak? Adakah kerana takut dikatakan sebagai individualistik? Entahlah, aku pun tak tahu. Seolah-olah, mahu berlagak baik, sedangkan aku juga ada kepentinganku sendiri.


Begitu juga dengan permasalahan kedua. Permasalahan kedua ini mempunyai perkaitan dengan permasalah pertama. Terlalu baik dengan seseorang sehingga menjangkau batasannya. Aku tak tahu sejak bila aku mula bersikap demikian, tetapi rasanya semenjak kebelakangan ini (selepas habis MA dan bekerja di UTP) aku terlalu banyak mendahulukan orang lain, sehingga aku dapat rasakan yang hidupku agak tak tentu arah. Insha-Allah, aku menolong seseorang itu kerana ikhlas mahu menolong. Tapi, aku dapat rasakan (Wallahu a'lam, sama ada betul atau tak sangkaanku), kebaikan aku untuk menolong diambil kesempatan oleh orang lain...Mungkin mereka tak bermaksud demikian. Tetapi mungkin kerana melihatkan aku tak banyak ber'kira', jadi akulah menjadi tempat utama untuk meminta pertolongan...Aku pula, sering timbul rasa bersalah kalau menolak permintaan pertolongan dari seseorang, walaupun aku ada hak untuk menolak. Lebih kurang sama dengan masalah yang pertama, tidak mampu mengatakan tidak. Apa kesannya? Akan sampai satu tahap, aku akan terasa begitu letih berada dengan seseorang yang aku tolong itu, hingga aku mahu melarikan diri darinya. Seolah-olah, aku yang 'baik' sebelum ini hanyalah satu kepuraan semata-mata, walaupun aku tidak bermaksud sebenarnya...Kadang-kadang, aku merasakan yang aku bukan 'seorang manusia' yang sebenarnya. Terlalu baik dalam semua perkara, tidak mampu menegur atau memarahi seseorang, sebaliknya lebih banyak memendamkan perasaan. Betullah kata pepatah Melayu, "Buat baik berpada-pada...buat jangan jangan sekali."


Sedangkan, aku seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan orang (mungkin ini hanya dari sudut pandanganku). Aku begitu bimbang akan menyusahkan orang sekiranya aku mahu meminta apa-apa pertolongan dari mereka, melainkan individu itu benar-benar rapat denganku, seperti ibubapa dan adik-beradik (tetapi dengan adik-beradik pun, aku segan/tak berani untuk meminta pertolongan mereka kerana kesibukan mereka) dan pertolongan yang aku minta tidak menyusahkan mereka. Tapi, aku (rasa) aku tak kisah untuk memberi (memberikan pertolongan dsgnya), melainkan kalau aku merasakan sedikit ralat atau berat hati. Tapi, orang lain selalunya tidak sebegitu. Mereka (pada pandanganku) tidak berfikiran sepertiku. Sekali peluang dibuka, setelah melihat sikapku yang tak kisah, maka bertalu-talulah datang permintaan pertolongan dari mereka. Ditambahkan lagi dengan sikapku yang selalu timbul rasa bersalah jika menolak permintaan seseorang. Sudah tentu, aku tak boleh meluahkan perkara ini atau berterus-terang dengan mereka. Mereka akan menganggap yang mereka menyusahkan aku dan aku tidak ikhlas dalam menolong. Bukan...! Bukan itu sebenarnya! Aku hanya mahukan yang kita saling faham-memahami. Aku hanya boleh menolong setakat yang aku mampu. Aku boleh menolong, tetapi perlu ada hadnya. Aku tidak mampu untuk bersikap 'baik' sepanjang masa, kerana aku juga mempunyai sikap buruk secara semulajadi.


Permasalahan ketiga, sejak kebelakangan ini, semenjak aku memulakan pengajian kedoktoran, terasa yang aku banyak menghabiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Main games, berinternet, chatting (walaupun sebenarnya aku chatting dengan teman lama), menonton drama di internet hingga 2,3 jam, keluar berjalan-jalan ke bandar hampir setiap hujung minggu, tidur dll. Meskipun dalam masa yang sama, aku akan belajar jika aku ke perpustakaan, tetapi jika di rumah, aku banyak berehat..! Seolah-olah aku agak tak serius dalam belajar. Aku tahu, mengikuti ijazah kedoktoran bukan satu perkara yang mudah! Aku perlu banyak membaca dan menulis, perlu tahu bagaimana untuk menguruskan masa. Mungkin ini kerana lemahnya motivasi dan sikap positif dalam diri, tetapi ada juga sedikit perkaitan dengan dua permasalahan sebelum ni. Tak tahu apa yang aku perlu lakukan. Apa yang aku tahu, aku perlu berubah, jika aku mahu memastikan kecemerlangan diriku. Mungkin perlu ada sedikit sikap 'selfish' dalam diri, jika tak mahu diperkotak-katikkan oleh orang lain.

Tapi, aku rasakan, sekiranya aku menguruskan diriku dengan baik, membuat perancangan dan jadual apa yang akan aku lakukan dalam sehari atau seminggu mahupun sebulan, masalah berkaitan 'tidak mampu mengatakan tidak' dan terlalu baik dengan seseorang' tidak akan timbul. Jika perancangan telah ada, aku akan tahu apa yang aku perlu lakukan dalam tempoh tertentu. Jadi, tugasan yang perlu aku laksanakan akan aku lakukan dan penuhi terlebih dahulu. Dan barulah aku memikirkan tentang orang lain pula. Jika mahu menolong orang pun, sekurang-kurangnya tugasan aku sendiri telah selesai. Jadi, tak timbullah masalah mahu mengungkit-ungkit kebaikan yang telah aku lakukan pada orang lain. Subhanallah, teruknya aku! Tapi, tak mengapalah. Sekurang-kurangnya aku meluahkan apa yang terbuku di hati. Aku seorang yang penyimpan, tidak mampu atau agak malu untuk berterus-terang. Sekurang-kurangnya, luahan perasaan dan hatiku aku coretkan di blog ini, untuk aku fikirkan kembali dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya.

Ya, Allah, berikanlah ketabahan dalam diri hambaMu ini, dalam menyusuri dan meneruskan kehidupan di dunia ini. Tunjukkanlah jalan yang lurus, yang akan memperoleh keberkatan dan kerahmatan dariMu. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui...