Sunday, June 3, 2007

Kembali setelah kembali

Bismillah al-Rahman al-Rahim

Kembali menyambung perjuangan setelah kembali ke kampung halaman.


4 Jun 2007, kembali melangkah ke pejabat setelah tiga hari tidak berada di bumi Perak. Meskipun tiba di Bandar Seri Iskandar dalam jam 4 pagi, Alhamdulillah masih bermaya dan bertenaga untuk meneruskan kerja seperti biasa hari ini. Banyak benda yang perlu dibereskan. Cukuplah cuti selama 3 hari di Kota Bharu, walaupun anak saudara, Nabihah menyebut semalam, "Sekejapnya Che Su balik."

Walaupun kerja agak berlambak di pejabat, tapi rasanya berbaloi pulang bercuti 3 hari lepas. Urusan pejabat langsung tak disentuh, tapi beberapa perkara peribadi dapat dibereskan. Selesailah masalah nak dijodohkan dengan individu yang tidak begitu 'kena' dengan diri ini, dapat menjalinkan kembali silaturrahim dengan adik-beradik mak (bapa dan ibu saudara sebelah mak), sepupu-sepupu dan juga adik-beradik sendiri meskipun tak cukup korum (sorang tak balik). Juga dapat bersama-sama, menatap dan melihat wajah ibu tercinta; berdiskusi, berbincang, mengadu masalah dengan ayahanda tersayang.


Rasanya sepanjang tiga hari di kampung, senyum tidak pernah lekang dari bibir. Apatah lagi melihatkan gelagat anak-anak saudara yang pelbagai, kemeriahan dan kebisingan mereka bermain di rumah 'sidi' (atuk) dan siti (nenek), juga bila mendengar usik-mengusik dan bertukar-tukar cerita di antara sepupu-sepupu. Kebetulan ramai yang pulang sempena majlis perkahwinan sepupu lelaki, menjadikan suasana lebih meriah. Hilang stress dan bebanan kerja yang difikirkan sebelum ni, dan menjadikan lebih bersemangat untuk kembali meneruskan kerja.

Inilah lumrah dan rutin hidup yang perlu diseimbangi, di antara tanggungjawab terhadap kerja dan tanggungjawab terhadap keluarga. Namun tanggungjawab ini masih kecil. Diri ini masih belum diuji dengan tanggungjawab yang lebih besar. Moga cabaran dan ujian yang mendatang setimpal dengan kemampuan dan kudrat diri ini untuk memikul dan menanganinya.